Utusan Borneo (Sarawak)

KPDNHEP sudah turun padang siasat isu tular ‘ikan busuk’

-

TAWAU: Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengambil tindakan berhubung kesahihan dakwaan wujud taktik licik peniaga menjual ‘ikan busuk’ di Pasar Ikan Tawau yang tular di media sosial.

Ketua KPDNHEP Tawau Aslani Dabi berkata pasukan penguatkua­sanya sudah menjalanka­n pemeriksaa­n pada Oktober sebaik sahaja aduan isu itu diterima.

“Isu itu bukan hanya tular di Sabah sahaja, tetapi turut sampai kepada pihak pengurusan tertinggi kementeria­n,” katanya, ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Bagaimanap­un, Aslani berkata isu itu didapati tidak mempunyai kaitan di bawah Akta KPDNKK kerana berhubung kait dengan aduan penipuan keadaan ikan yang busuk.

Menurutnya, KPDNHEP sudah menyalurka­n maklumat berkaitan kepada agensi berkaitan termasukla­h Jabatan Perikanan untuk mengambil untuk tindakan susulan.

“Kalau berkaitan kes penipuan harga atau peniaga meletakkan dua harga, perkara itu memang tanggungja­wab kami tetapi isu ini bukan berkaitan harga,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaa­n mengenai alat timbang yang digunakan oleh peniaga ikan juga didapati tidak ada masalah, malah mereka turut meletakkan tanda harga

Untuk rekod, isu ikan busuk tular di media sosial susulan permintaan netizen yang meminta penguat kuasa mengambil perhatian terhadap peniaga tidak jujur di pasar itu.

Ikan-ikan yang dipamerkan oleh penjual di pasar itu dikatakan kelihatan segar berkilat, tetapi keadaan sebaliknya berlaku apabila pelanggan membawa pulang ikan ke rumah.

Peniaga dikatakan melakukan taktik dengan meletakkan ikan-ikan yang segar di bahagian atas tetapi mencedok ikan dari bawah untuk dijual kepada pelanggan.

Malah, ada antara netizen yang mendakwa terdapat ikan yang dibeli pada harga RM7 hingga RM8 hanya layak diberi kepada biawak kerana sudah busuk dan perut terburai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia