Utusan Borneo (Sarawak)

392 individu dicekup kerana jual 4D haram dari Januari-November

-

KUCHING: Seramai 392 individu berjaya ditangkap dan diambil tindakan kerana didapati terbabit kegiatan menjual nombor ekor ( 4D) haram di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ng Ah Lek berkata, tangkapan tersebut dibuat menerusi 334 serbuan yang dilakukan oleh anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dari Januari hingga November tahun ini.

Menurutnya, kejayaan tersebut adalah hasil usaha berterusan pihaknya untuk menjadikan Kuching bebas daripada kegiatan perjudian.

“Operasi pembantera­san perjudian nombor 4D haram sejak Januari hingga November tahun ini berjaya membuat 334 serbuan yang mencatatka­n tangkapan seramai 392 orang.

“Daripada operasi tersebut juga, kita berjaya merampas wang perjudian sebanyak RM55,812 serta beberapa peralatan perjudian seperti telefon bimbit dan mesin pencetak,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Selain itu, Ng turut memberitah­u pihaknya juga berjaya melakukan 67 serbuan ke atas premis yang disyaki menjalanka­n aktiviti perjudian atas talian untuk tempoh yang sama.

“Dalam serbuan tersebut, seramai 107 pengendali perjudian berjaya ditangkap dan sejumlah RM25,759 wang tunai dirampas,” katanya.

Tambahnya, pihak IPD Kuching amat komited dalam membasmi kegiatan perjudian dan operasi pembantera­san akan berterusan.

“Susulan itu juga, sebanyak 22 premis telah diambil tindakan pemotongan pendawaian elektrik oleh Sarawak Energy Berhad ( SEB) yang bekerjasam­a dengan kita sebagai usaha keras menghentik­an kegiatan perjudian tersebut,” katanya.

Kesemua tangkapan dan rampasan barang kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 4A( a) dab 4B( a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih dari RM100,000 dan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun,” tegas Ng.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia