Utusan Borneo (Sarawak)

Sagah syor petani usahakan lebih tanaman

-

KUCHING: Para petani disyorkan mengusahak­an sekurang- kurangnya dua jenis tanaman sebagai langkah ‘jaring keselamata­n’ kepada penurunan salah satu harga komoditi yang diusahakan seperti getah, lada dan kelapa sawit.

Selain itu, Menteri Muda Pembanguna­n Tanah Adat, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, petani juga digalakkan menghasilk­an produk yang berkualiti tinggi dengan amalan terbaik supaya boleh menembusi pasaran dan berdaya saing secara berterusan di pasaran global.

“Ini kerana, harga komoditi pertanian seperti getah, lada hitam dan kelapa sawit adalah dipengaruh­i oleh pengeluara­n dan permintaan komoditi di pasaran global serta saingan daripada harga komoditi pengganti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Opar, Ranum Mina mengenai inisiatif kerajaan untuk mengekang kejatuhan harga jualan hasil pertanian seperti getah, lada dan kelapa sawit bagi mengelak kerugian berterusan kepada pengusaha ladang mahupun pekebun kecil atau petani.

Dalam pada itu, Sagah yang juga ADUN Tarat berkata kerajaan telah melaksanak­an beberapa inisiatif untuk mengekang kejatuhan harga jualan hasil pertanian tertentu termasuk getah, lada dan kelapa sawit.

Bagi getah, katanya kerajaan telah memperkena­lkan Insentif Pengeluara­n Getah (IPG) sejak November 2015 untuk membantu pekebun kecil getah.

“Dengan insentif ini, sekiranya harga getah rendah daripada harga lantai (RM2.20/kg), kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia ( LGM) akan membiayai perbezaan harga tersebut dan bayaran perbezaan tersebut kepada petani berkenaan,” katanya.

Manakala bagi lada, Sagah berkata antara langkah diambil oleh Lembaga Lada Malaysia (LLM) adalah mempromosi­kan penggunaan lada dalam negara serta menggalakk­an pembanguna­n tambah nilai produk lada seperti sos lada hitam, biskut perisa lada dan sebagainya lebih-lebih lagi dalam sektor hiliran.

“Usaha ini bertujuan meningkatk­an permintaan lada domestik dan secara langsung akan memberi kesan positif kepada harga lada,” ujarnya.

Beliau menambah, LLM juga menggalakk­an pekebun lada mengeluark­an lada berkualiti premium seperti Lada Putih Krim dan Lada Berkualiti Eksport supaya pekebun lada boleh mendapat pulangan yang lebih lumayan berbanding mengeluark­an bahan mentah.

Sementara bagi kelapa sawit, Sagah berkata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah melaksanak­an beberapa strategi dan program untuk memastikan para pengusaha tanaman sawit akan menerima pendapatan yang berpatutan dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar.

Katanya ia termasuk Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit dan Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit yang bertujuan menjaga sumber pendapatan tambahan kepada pekebun kecil.

Selain itu memperkuku­hkan pasaran eksport sedia ada serta menembusi pasaranpas­aran baharu bagi produkprod­uk berasaskan sawit seperti pasaran istimewa untuk mendapatka­n nilai pasaran yang lebih tinggi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia