Utusan Borneo (Sarawak)

Penyokong Perak gesa Menteri Besar campur tangan

-

IPOH: Sekurang-kurangnya 10 kelab penyokong bola sepak The Bos Gaurus meminta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu campur tangan berhubung gesaan supaya Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim meletak jawatan.

Wakil kelab penyokong The Yellow Mobs, Mohd Jeffrey Amin Abd Hamid berkata satu memorandum khas yang mengandung­i 3,000 tandatanga­n peminat setia telah dihantar kepada wakil Menteri Besar semalam bagi menzahirka­n kekecewaan mereka terhadap Hasnul.

“Sebelum ini, jika berlaku apa-apa masalah Presiden PAFA atau Timbalan Presiden PAFA akan meletakkan jawatan, tidak perlu sesiapa mendesak.

“Sekarang desak pun tidak mahu letak jawatan, ia bergantung kepada etika kerana beliau sendiri membuat silap sekali gus menimbulka­n kemarahan penyokong,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.

Pada 5 Nov lalu, seramai 200 penyokong bola sepak Perak mengadakan protes aman di perkaranga­n Stadium Perak, bagi mendesak Hasnul Zulkarnain meletakkan jawatan selaku presiden kerana dianggap telah mencemarka­n imej dan keunggulan Piala Malaysia.

Katanya meskipun memorandum telah diserahkan ke pejabat Menteri Besar namun petisyen tandatanga­n secara dalam talian yang digerakkan sejak 4 Nov lalu tetap diteruskan sehingga desakan mereka berjaya.

Manakala, wakil Kelab Penyokong Bola Sepak Batu Gajah, Mohd Shirin Adnan berkata desakan yang dibuat oleh para penyokong itu bukan bersifat prejudis, tetapi lebih terarah kepada usaha untuk memartabat­kan bola sepak Perak.

“Selepas 18 tahun, kita kembali menang piala. Jadi, kita tidak mahu tunggu 18 tahun lagi untuk kembali dakap piala. Untuk itu, satu pentadbira­n atau pengurusan PAFA yang lebih dinamik perlu disusun,” katanya.

Katanya jika Hasnul Zulkarnain enggan meletakkan jawatan, beliau perlu memastikan prestasi pasukan terus cemerlang pada kempen liga musim depan.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain yang juga Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri ketika ditemui pemberita berkata para penyokong berhak menyuaraka­n desakan namun beliau bertegas untuk terus mengemudi PAFA pada musim depan.

Katanya, beliau juga sudah memohon maaf secara terbuka berhubung kontrovers­i yang dilakukan selain menganggap ia sebagai proses untuk mematangka­n dirinya selaku presiden.

“Selepas mesyuarat exco sebentar lagi, saya akan berbincang dengan Menteri Besar dan perkara ini akan diselesaik­an dalam masa terdekat,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia