Utusan Borneo (Sarawak)

Florida pulangkan hak mengundi kepada 1.5 juta bekas penjenayah

-

MIAMI: Pengundi di Florida kelmarin meluluskan satu pindaan untuk membenarka­n bekas penjenayah yang pernah menjalani hukuman penjara untuk mengundi, sekali gus membolehka­n 1.5 juta penduduk lagi untuk menyertai pilihan raya presiden pada 2020.

Pindaan 4 itu secara automatik memulihkan hak mengundi kepada penjenayah yang sudah menamatkan hukuman mereka, membayar ganti rugi dan memenuhi kewajipan percubaan dan parol mereka – kecuali mereka yang didapati bersalah melakukan pembunuhan atau jenayah seks.

Langkah iu diluluskan dengan 64.4 peratus sokongan, kata pegawai.

Undang-undang lama khususnya menjejaska­n golongan kulit hitam dan Latino secara tidak seimbang.

Buat masa sekarang, penjenayah mesti menunggu minimum lima tahun selepas mereka selesai menjalani hukuman untuk memohon hak mengundi semula.

Pembela undang-undang lama, seperti Richard Harrison, dari Pakatan Hak Florida, berkata pindaan itu gagal mengambil kira kemudarata­n yang dilakukan kepada mangsa, kelakuan penjenayah pasca pembebasan dan faktor lain.

Bagi Yraida Guanipa, yang dibebaskan dari penjara lebih sedekad lalu dan ketika itu tidak dapat mengundi, pindaan itu “merupakan cahaya di hujung terowong”.

“Impian saya agar kita menjadi dunia yang lebih memahami akan menjadi nyata,” katanya kepada AFP.

Di seluruh negara, enam juta orang tidak dapat mengundi disebabkan oleh rekod jenayah mereka.

Florida, sebuah negeri yang berpengaru­h dan turut memainkan peranan penting dalam pilihan raya kebangsaan, mempunyai jumlah terbesar warga sedemikian.

Sebelum pindaan itu diluluskan, lebih satu dalam setiap lima warga Afrika Amerika di Florida (21 peratus) tidak dapat mengundi, menurut ‘Sentencing Project’.

Pakar berkata tiada kajian sedemikian yang pernah dijalankan untuk masyarakat Latino.

Namun mereka memetik satu siasatan pada 2003 yang dijalankan di 10 negeri oleh kumpulan pembelaan undang-undang Latino MALDEF yang merumuskan masyarakat Hispanik dilucutkan hak mengundi pada kadar yang lebih tinggi berbanding populasi umum. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia