Kerajaan persekutuan akan bantu Rose Sulau dapatkan kad pengenalan biru

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

MIRI: Kerajaan persekutuan akan membantu seorang balu, Rose Sulau Tugau, 55, untuk mendapatkan kad pengenalan warganegara Malaysia yang sah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin telah mengarahkan Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo membantu Rose Sulau.

“Saya telah memberitahu Dr Teo supaya menulis surat kepada kementerian untuk menerangkan situasi sebenar Rose Sulau yang dahulunya mempunyai kad pengenalan biru, tetapi bertukar kepada kad pengenalan merah,” katanya semasa melawat Rose di Kampung Pasir Lutong, semalam.

Menurutnya, selain surat penjelasan, Rose juga perlu mendapatkan bukti- bukti lain yang boleh mengesahkan bahawa dia sememangnya rakyat Malaysia.

“Saya difahamkan kesemua adik- beradik Rose adalah warganegara dan memiliki kad pengenalan biru dan dokumen ini perlu sebagai bukti,” katanya.

Rose berbangsa Kenyah dari Long Dekan, Ulu Baram tidak dapat berjalan dan terpaksa merangkak selepas mengalami sakit belakang akibat kecederaan tulang belakang.

Zuraidah berkata, sebelum ini Rose mempunyai kad pengenalan biru namun ia digantikan dengan kad pengenalan merah semasa proses pembersihan.

“Memandangkan kad pengenalan birunya tidak diiktiraf, maka Rose tidak mendapat bantuan kerajaan dalam keadaannya tidak upaya sekarang,” ujarnya.

Dr Teo juga katanya, telah banyak membantu Rose dalam menjalani kehidupan harian.

Sementara itu, Rose berkata, dia terpaksa merangkak untuk ke dapur dan ke ruang tamu bagi melakukan kerja harian.

Keadaan itu menyukarkan kehidupannya yang kini hidup sebatang kara di rumahnya yang juga dalam keadaan daif.

Menurut Rose, dia tidak dapat berjalan selepas menjalani pembedahan pada Oktober 2013.

Hadir sama Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo.

AKAN DIBANTU: Zuraida (dua kiri) menunjukkan kad pengenalan merah milik Rose (kanan) sambil disaksikan Dr Teo (kiri) semasa lawatannya di Kampung Pasir semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.