SeDidik atur strategi pertingkat kualiti seiring keperluan semasa, masa depan

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

SIBU: SeDidik telah mengatur hala tuju dan strategi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan seiring dengan keperluan semasa dan masa depan.

Pengurus Kanan Sektor Operasi dan Kurikulum SeDidik Lily Ganam berkata, meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran antara fokus utamanya.

“Ini dilakukan dengan warga pendidik tadika SeDidik sekurang-kurangnya memiliki diploma dalam asuhan dan didikan awal kanak-kanak bagi memastikan mereka bersedia untuk berkhidmat sebagai guru tadika.

“Manakala, kita telah menghantar pengasuh di taska untuk mengikuti kursus asuhan dan didikan awal kanak- kanak oleh Jabatan Kebajikan dan Masyarakat (JKM),” jelasnya.

Berucap pada Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah SeDidik Zon Sibu 2018 semalam, Lily berkata, SeDidik juga meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan warga pendidik dan pengasuh.

“Usaha ini dilakukan dengan kerjasama kolej dan universiti tempatan untuk memberi kursus komunikasi asas.

“Sementara itu, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan KanakKanak di bawah Menterinya Dato Sri Fatimah Abdullah turut melaksanakan modul ‘English Fun Learning.’

“Modul ini dilakukan supaya guru-guru tadika dapat mengadakan aktiviti dalam bahasa Inggeris dengan seronok bersama anak-anak,” ujarnya.

Bagaimanapun, Lily menegaskan aspek penguasaan bahasa Melayu tidak diabaikan dalam usaha tersebut kerana ia keperluan asas kokurikulum sekolah.

“Yang terbaharu pelaksanaan modul STEM (Sains, Teknologi, Matematik dan Kejuruteraan) telah dimulakan dengan kursus pada januari tahun ini.

“Selain itu, SeDidik juga melakukan ‘Kinder Gardening’ di buah pusat prasekolah SeDidik di seluruh Sarawak untuk mengajar anak-anak berbudi kepada tanah.

“Projek ini dimulakan dengan menyemai tanaman, menuaikan hasil dan menjualnya kepada ibu bapa. Di Sibu, kita akan mulakan projek pada tahun depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lily memberitahu, SeDidik akan memulakan kelas asas ‘Kinder Gym’ di tadika SeDidik di Jalan Kaka, Sibu untuk memberi aktiviti kecergasan kepada kanak-kanak.

“Dalam memastikan perkhidmatan tadika dan pusat asuhan SeDidik diuruskan dengan baik, pihak ibu pejabat SeDidik dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) akan membuat pemeriksaan audit.

“Ini bertujuan untuk memastikan perkhidmatan yang diberi adalah berkualiti. Begitu juga input dan maklum balas ibu bapa juga dialu-alukan dengan memaklumkan kepada kami,” jelasnya.

Dalam ucapannya, Lily berterima kasih kepada agensi kerajaan, pihak swasta, ketua masyarakat, pengerusi kelab di tadika dan pusat asuhan SeDidik dan ibu bapa atas kerjasama dan sokongan mereka menjayakan aktiviti SeDidik.

“Diharapkan, ikatan kerjasama akan terus pada masa untuk memastikan kecemerlangan anak- kanak,” ujarnya.

Majlis penyampaian sijil disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah SeDidik Dr Shahri Abdul Rahman. Hadir sama Pengurus Operasi SeDidik Zon Sibu, Rosnah Bit.

Seramai 69 kanak-kanak tadika SeDidik diraikan pada konvokesyen tersebut melibatkan sebanyak 10 tadika SeDidik bagi Zon Sibu.

Tadika yang terlibat ialah SeDidik Mutiara ( SM) Bougenvilla, SM Kapit, SM Sarikei NKRA, SM Saratok, SM Datu Hilir, SM Sibu Jaya, SM Julau, SM Daro, SM Perdana Kaka dan SM Tanjung Manis.

Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian, tarian oleh para murid, ibu bapa dan warga guru tadika SeDidik Zon Sibu.

TAMAT PRASEKOLAH: Shahri (tengah) menyampaikan sijil kepada salah seorang kanak-kanak tadika SeDidik Zon Sibu sambil diperhatikan Lily (dua kiri).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.