Ia bertujuan menangani isu pengangguran dalam kalangan graduan

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan - Oleh Mohd Aliff Idzwan Abdullah

MIRI: Pemerkasaan elemen keusahawanan melalui pelbagai bentuk aktiviti dan program dilihat seiring dengan hasrat untuk melahirkan graduan universiti yang boleh ‘mencipta pekerjaan’ daripada sekadar ‘mencari pekerjaan.’

Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datu Mohd Fadzil Abd Rahman berkata, inisiatif dilaksanakan Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum ini bertujuan bagi menangani kemelut isu pengangguran dalam kalangan graduan.

“Melalui langkah ini yang dilaksanakan di semua Universiti Awam ( UA) dapat menyemai semangat dalam setiap pelajar universiti untuk tidak bergantung kepada pekerjaan makan gaji sematamata.

“Pelajar perlu berani mengharungi cabaran dan mengubah ‘ mind set’ bahawa konsep pekerjaan itu adalah berteraskan kepada makan gaji semata-mata, sebaliknya mencipta pekerjaan adalah antara ruang dan peluang yang boleh dirintis untuk menjadi orang yang berjaya dalam karier,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Borneo bagi mengulas laporan sebuah akhbar arus perdana mengenai Laporan Tinjauan Ekonomi Kementerian Kewangan 2019 berhubung kadar pengangguran dalam kalangan graduan Bumiputera adalah paling tinggi pada awal minggu ini.

Menurutnya, faktor graduan memilih pekerjaan bukan perkara baharu kerana ia merupakan antara penyumbang kepada pengangguran sejak sekian lama.

“Sikap tidak mahu keluar dari zon selesa berhijrah keluar dari kampung halaman atau negeri asal di kalangan pelajar turut menjadi antara penyumbang besar dalam isu ini.

“K e i n g i n a n u n t u k berkhidmat dengan kerajaan dalam perkhidmatan awam mengatasi lain- lain pekerjaan swasta pula adalah antara dapatan yang diperolehi melalui tinjauan dan pengalaman menemu bual golongan pelajar yang sedang mencari pekerjaan,” katanya.

Mohd Fadzil berkata, pertambahan universiti baharu dan penubuhan cawangan universiti luar negara di Malaysia yang semakin banyak saban tahun mungkin akan meningkatkan lambakan graduan dengan peluang kerjaya yang tidak dapat mengimbangi bilangan graduan, dalam erti kata lain, pengeluaran mengatasi permintaan.

“Dengan kemajuan dan kepesatan dunia pendidikan tinggi yang semakin dinamik, amat mustahil untuk memastikan setiap seorang daripada lepasan universiti dijamin dengan pekerjaan terutamanya makan gaji.

“Soal pengangguran mengatasi segala alasan lain yang diberikan, sebenarnya semua ini diyakini dapat diatasi oleh sifat dan sikap individu itu sendiri.

“Hanya satu ungkapan sahaja yang dapat dibuat bagi menterjemahkan situasi dan realitinya, semuanya amat bergantung kepada apa yang diistilahkan sebagai ‘survival of the fittest’.

“Hanya yang cekal dan tabah akan dapat mengatasi segala kekurangan lantas segera gigih berusaha,” katanya.

MOHD FADZIL

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.