Masalah teknikal dikesan pada sistem kaunter secara talian e-undi yang diguna semasa pengundian

Utusan Borneo (Sarawak) - - Berita Iban - Oleh Kepu Sidi

JULAU: Pengumuman keputusan pemilihan PKR Cabang Julau di Pusat Pengundian Kompleks Sukan di sini terpaksa ditangguhkan petang semalam berikutan terdapat masalah pada tablet e-undi yang digunakan.

Ketua Pengawas Pemilihan Cabang Julau Mohd Azahari Daud berkata, pihaknya mendapati ada masalah teknikal pada sistem kaunter secara talian e- undi yang diguna pakai semasa proses pengundian.

“Terdapat perisian yang dipercayai boleh memadam aplikasi e- undi dalam tablet tersebut yang membolehkan pihak tertentu mengawal setiap keputusan dengan menggunakan komputer dari jarak jauh.

“Justeru, pihak JPP telah menggantung keputusan bagi Cabang Julau sehingga pemilihan ini siap diproses. Keputusan akan kita maklumkan dalam tempoh terdekat,” ujarnya.

Terdahulu, kira- kira 3,000 orang yang terdiri daripada ahli- ahli PKR dari Parlimen Julau menunaikan tanggungjawab dalam Pengundian Calon Majlis Pimpinan Pusat dan Cabang PKR, semalam.

Proses pengundian di pusat terbabit bermula pada jam 9 pagi dan sebanyak 50 kaunter secara talian e- undi telah dibuka.

Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien berkata, seawal jam 8 pagi, sekitar 500 ahli PKR telah pun hadir di pusat tersebut.

“Walaupun hujan sejak awal pagi, namun ia tidak mematahkan semangat ahliahli PKR yang datang dari segenap pelosok Parlimen Julau ini untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

“Kita berharap proses pengundian yang berlangsung selama dua hari ini yang membabitkan 30 cabang PKR di Sarawak dapat berjalan dengan lancar dan adil,” katanya.

Proses pengundian di Julau menarik perhatian umum setelah tercetus kontroversi berikutan peningkatan secara mendadak jumlah keahliannya iaitu dari 603 orang kepada 13,000 ahli dalam tempoh satu hari pada 27 Jun lalu.

Namun pada mesyuarat Biro Politik PKR beberapa hari lepas, keputusan bahawa pertambahan ahli tersebut disahkan sahih dan mengikut peraturan.

Sementara itu, Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat ( PKR) Rafizi Ramli melahirkan rasa tidak puas hati dengan kelancaran proses pengundian di pusat Kompleks Sukan Julau.

Katanya, kekurangan mesin pencetak kod QR yang diguna pakai di pusat pengundian di situ tidak mencukupi dan menyebabkan kelewatan proses.

“Pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat ( JPP) perlu sedar terhadap perkara ini dan pihak kita telah pun memaklumkan perkara tersebut kepada mereka ( JPP).

“Kita telah maklumkan kepada pihak JPP bahawa di Julau ini para pengundi datang dari jauh dan mereka mengharapkan proses ini dapat berjalan dengan lancar.

“Isu ini adalah satu kelemahan yang tidak adil kepada pengundi- pengundi yang datang dari jauh dan kita berharap situasi seumapama ini tidak akan berulang lagi,” katanya ketika ditemui media.

Pada masa sama, Rafizi turut mengulas bahawa persaingan dalam merebut jawatan Timbalan Presiden PKR begitu sengit sekali pada kali ini.

“Namun bagi kita, perjuangan ini adalah satu platform bagi kita terus berjuang menegakkan keadilan dan kita sudah biasa dengan suasana seperti ini.

“Kalah dan menang itu adalah adat pertandingan dan perkara yang paling penting ialah kita perlu bersatu, berdiri teguh dan memberikan sokongan yang padu kepada Datuk Seri Anwar,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, sedikit kekecohan ber- laku semalam apabila calon Timbalan Ketua Cabang PKR Julau Andy Wong Hong Yu telah dihalang oleh petugas keselamatan untuk memasuki dewan.

Namun demikian, insiden yang berlaku pada jam 11.50 pagi tersebut dapat ditangani oleh pihak polis.

Andy, 60, yang turut ditemui media berkata, beliau begitu kecewa dengan tindakan petugas keselamatan dari Semenanjung yang bersikap tidak profesional dalam menjalankan tugas.

“Saya adalah seorang ahli PKR yang sah, mengapa mereka bertindak sedemikian terhadap saya, sedangkan saya tidak melakukan apa- apa kesalahan.

“Saya datang ke pusat ini hanya untuk menjalankan tanggungjawab dan juga sebagai seorang calon Timbalan Ketua Cabang PKR Julau,” ujarnya.

SESAK: Kompleks Sukan Julau dipenuhi oleh para pengundi PKR yang menjalankan tanggungjawab mengundi untuk Cabang Julau, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.