Pusat Kebudayaan dan Komuniti Serembu bakal pacu industri pelancongan Bau: Miro
BAU: Pembinaan Pusat Kebudayaan dan Komuniti Serembu bakal memacu industri pelancongan setempat di daerah Bau amnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Serembu Miro Simuh berkata, projek pembangunan bernilai RM200,000 menerusi Program Transformasi Luar Bandar ( RTP) itu dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun depan.
Menurutnya, pembangunan pusat kebudayaan tersebut juga secara langsung memberi peluang kepada penduduk setempat untuk menceburi dan bergiat aktif dalam industri pelancongan sekali gus meningkatkan lagi taraf ekonomi mereka.
“Pada masa sama, kita juga merancang untuk mewujudkan Taman Eko Gunung Serembu sebagai salah satu daya tarikan atau keunikan ekopelancongan berasaskan persekitaran semula jadi di sini.
“Pendekatan baharu ini diyakini memberi lebih banyak tawaran menarik kepada para pelancong domestik dan antarabangsa untuk datang berkunjung ke kawasan Serembu pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan tawaran projek Pusat Kebudayaan dan Komuniti Serembu di sini semalam.
Sementara itu, Miro memberitahu, projek seumpamanya dilaksanakan supaya lebih ramai komuniti setempat mendapat manfaat daripada sektor pelancongan di Serembu.
Katanya, beliau akan terus memastikan industri pelancongan di Serembu berkembang selaras dengan perkembangan semasa.
“Aspek perhubungan ke destinasi- destinasi pelancongan di Serembu juga akan ditingkatkan bagi memberikan keselesaan kepada para pelancong.
“Sehubungan itu, saya meminta semua pihak supaya bersama-sama memelihara produk- produk pelancongan semula jadi seperti sungai, bukit, gunung dan hutan yang terdapat di Serembu dalam usaha menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke sini,” ujarnya.