Bomba beku cuti 10,000 pegawai dan anggota

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan cuti kira-kira 10,000 anggotanya di seluruh negara sebagai persediaan untuk menghadapi bencana banjir tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata pembekuan cuti itu melibatkan pegawai dan anggota bomba daripada 296 Balai Bomba yang terdiri daripada 48 zon seluruh negara.

“Sebagai persiapan awal, kita mengenal pasti kawasankawasan yang berisiko dilanda banjir di samping memantau maklumat terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Istiadat penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka di Dewan Seri Negeri semalam.

Beliau berkata pihaknya juga memberi tumpuan terhadap aspek persedian peralatan logistik dan tindakan yang sepatutnya dilakukan termasuk rondaan di kawasan tertentu terutamanya di kawasan Pantai Timur negara dan beberapa kawasan di Utara serta Selatan tanah air.

Katanya selain daripada itu, pihaknya juga mengenalpasti beberapa kawasan yang berisiko khasnya pantai-pantai di bahagian barat, tengah dan utara di Sabah dan Sarawak.

Mohammad Hamdan berkata anggota bomba di negeri-negeri yang tidak berisiko banjir juga diminta sentiasa bersedia untuk membantu di kawasan-kawasan bencana sekiranya diperlukan.

Beliau turut menasihati orang ramai agar menghentikan segala aktiviti di kawasan berisiko banjir bagi mengelak sebarang kemungkinan buruk.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai siasatan berkaiatan insiden enam anggota bomba lemas ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja di lombong Taman Putra Perdana Puchong awal Oktober lalu, Mohammad Hamdan berkata siasatan kini dalam peringkat akhir dan ia dijangka siap akhir tahun ini. — Bernama

SOKONGAN: (dari kiri) Voon, Zuraida dan Dr Teo semasa melawat pusat pengundian di Kelab Gymkhana Miri semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.