Mahathir tegur penjawat awam yang tidak terima prinsip demokrasi

Utusan Borneo (Sarawak) - - Nasional -

KOTA BHARU: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegur penjawat awam yang tidak menerima prinsip demokrasi sekali gus enggan menerima kepimpinan baharu kerajaan.

Dr Mahathir berkata sikap sedemikian sama sekali tidak wajar kerana boleh menyebabkan negara menjadi mundur berikutan keengganan menerima prinsip berkenaan.

“Kita memahami kerana sudah 13 kali berlaku pilihan raya umum dan setiap kali (pilihan raya diadakan) kerajaan di peringkat persekutuan itu tidak bertukar, dan kali ini apabila bertukarnya kerajaan, sudah tentu ada yang sukar menerima kepimpinan baharu itu.

“Ini disebabkan kerajaan terdahulu telah menanam sikap terhadap mereka termasuk menggunakan jentera kerajaan bekerja untuk parti dan pemimpin tertentu yang bukannya untuk bekerja membangunkan negara dan menerapkan nilai demokrasi yang tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Sehari Bersama Perdana Menteri Dengan Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan/ Negeri di sini, semalam.

Beliau berkata apabila telah lama ditanamkan sikap sedemikian, penjawat awam berkenaan bukan lagi berkhidmat untuk kerajaan, sebaliknya untuk parti.

Dr Mahathir berkata apa- bila diri mereka telah diikat sebegitu rupa, penjawat awam lebih mengutamakan kesetiaan kepada parti dan apabila kerajaan baharu didirikan, ia berdepan masalah oleh sebab ada di antara mereka ini yang masih mengikatkan diri dengan parti lama.

Perdana Menteri berkata penjawat awam sepatutnya mematuhi dasar berkecuali dan dasar demokrasi demi pembangunan negara yang lebih berkesan.

“Ada pegawai yang terikat dan tidak sanggup mengiktiraf kerajaan yang baharu ini dan ini tidak baik untuk masa depan negara walaupun kerajaan memahami perkara itu,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Ma- hathir menasihatkan agar penjawat awam lebih profesional demi pembangunan negara dan bukannya untuk kepentingan pihak tertentu.

Mengenai Kelantan, Dr Mahathir berkata perbezaan politik bukan bermakna negeri itu tidak boleh dibangunkan bersama dengan kerajaan Persekutuan, sebaliknya hendaklah saling membantu ke arah itu.

“Jangan taksub kepada parti dan jangan jadi sebab tidak boleh menyumbang untuk pembangunan. Saya bukan meraih sokongan tetapi saya bercakap soal kebenaran. Kalau tidak nanti ia akan jadi bermasalah,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.