Beri ruang anak muda jadi pemimpin gerakan Malaysia Baharu

Utusan Borneo (Sarawak) - - Nasional -

MUAR: Golongan muda perlu diberi ruang dan peluang menjadi pemimpin masa kini, dan bukannya menunggu sebagai pemimpin masa depan sahaja, dalam usaha menggerakkan aspirasi Malaysia Baharu, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Muar itu berkata dalam pentadbiran kerajaan terdahulu, anak muda sering dilihat tidak berpengalaman dan terlalu mentah untuk ‘duduk semeja’ bagi membuat keputusan merencana agenda negara, namun hal tersebut tidak akan berlaku pada pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) masa ini.

Beliau berkata dalam agenda Malaysia Baharu oleh kerajaan PH, setiap suara anak muda itu penting dalam merencana aspirasi agenda tersebut, justeru generasi berkenaan perlu berani tampil ke hadapan untuk bersama menyahut cabaran berkenaan.

“Malaysia Baharu bukan milik saya, bukan milik satu pihak tertentu sahaja, ia merentasi semua, milik semua rakyat Malaysia tanpa mengira umur, agama, bangsa atau apa sahaja latar belakang.

“Sesiapa sahaja, jika kamu berjiwa besar kamu ada tempat dalam menggerakkan Malaysia Baharu ... dalam konteks ini suaraanakmudapentingsekali,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup program Pewaris Muda Peringkat Kebangsaan2018diKampungParit Bugis di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Seramai 132 peserta terlibat dalam program Pewaris Muda Peringkat Kebangsaan 2018, sebuah program berkonsepkan keluarga angkat berlangsung selama empat hari berakhir semalam di kampung itu, bagi merasai kehidupan masyarakat kampung serta memperlihatkan kepada mereka teladan dan nilai murni hidup bermasyarakat.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Syed Saddiq berkata beliau bersama kementeriannya akan berusaha memastikan anak muda berada dalam setiap lapisan pentadbiran kerajaan dalam memacu agenda negara.

Beliau berkata dalam Belanjawan 2019, kerajaan memperuntukkan RM70 juta kepada kementeriannya bagi merangka program melatih anak muda sebagai pemimpin yang mampu menjadi aset penting buat negara.

“Pada masa ini, kita sedang membentuk modul dan perinciannya supaya suatu hari nanti walau apa pun terjadi walaupun bertukar kerajaan sekali pun, anak muda itu terus diperkasa dan memainkan peranan penting buat negara.

“Anak muda ini bukan sahaja pemimpin masa depan tetapi pemimpin masa kini, saya akan pastikan anak muda berada dalam setiap lapisan kerajaan untuk membuat keputusan berhubung dasar negara,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.