Utusan Borneo (Sarawak)

1,975 kes malaria monyet dikesan di Sabah sehingga September 2018

-

KENINGAU: Sejumlah 1,975 kes malaria monyet dikesan di Sabah sehingga September tahun ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Christina Rundi.

Beliau berkata statistik itu menunjukka­n peningkata­n 393 kes berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan Ranau mencatat bilangan kes malaria monyet tertinggi di Sabah iaitu 293 kes diikuti Keningau ( 293 kes) dan Kota Marudu ( 186 kes).

“Namun, keadaan masih terkawal dan masyarakat tidak perlu risau,” katanya kepada BERNAMA, di sini.

Malaria monyet adalah penyakit disebabkan oleh parasit dikenali sebagai Plasmodium Knowlesi dipindahka­n daripada monyet dijangkiti kepada nyamuk Anopheles betina dan kemudian dipindahka­n pula kepada manusia.

Nyamuk Anopheles betina itu keluar dan aktif menggigit bermula 5.30 pagi hingga 8 pagi; dan 6.30 petang hingga 8 malam.

Dr Christina berkata pemindahan wabak itu akan sentiasa berlaku kerana cabaran utama membasmi penyakit tersebut ialah parasit terbabit hanya wujud dalam tubuh haiwan iaitu monyet dan ia amat sukar dikawal kerana rawatan hanya boleh diberikan kepada individu dijangkiti penyakit berkenaan.

Beliau berkata golongan yang terdedah kepada jangkitan penyakit itu ialah pekebun khususnya penoreh getah; peladang; pemburu; dan mereka yang tinggal berhampira­n hutan.

Menurutnya, pembiakan nyamuk Anopheles banyak di Sabah, dan beliau menjelaska­n pemindahan parasit malaria monyet itu berlaku di kawasan tempat tinggal dan tidak hanya di hutan atau ladang.

Situasi tersebut sangat membimbang­kan jika masyarakat tidak peka mengenai penyakit itu dan bersama- sama membasmi pembiakan nyamuk, katanya.

Dalam perkembang­an berkaitan, Dr Christina berkata, Sabah merekodkan hanya satu kes malaria manusia sehingga November tahun ini, dan ini adalah satu pencapaian terbaik daripada program sifar kes jangkitan malaria manusia di Sabah yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan negeri.

Sabah adalah antara negeri yang pernah mencatat kes jangkitan malaria manusia paling tinggi di Malaysia suatu ketika dahulu, katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia