Utusan Borneo (Sarawak)

Raafidin pertahan jawatan Ketua Cabang PKR Sibu

-

SIBU: Dengan majoriti 330, Abdul Raafidin Majidi berjaya mempertaha­nkan jawatan Ketua Cabang PKR Sibu dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di cabang itu, semalam.

Raafidin yang merupakan bekas calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri ( DUN) Nangka pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) yang lalu menang dengan 433 undi.

Dua pencabarny­a, Abang Ismail Abang Chek dan Sng Wei Hong masing-masing mendapat sebanyak 103 dan satu undi.

Bercakap kepada media, Raafidin merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi kerana memberi kepercayaa­n kepada beliau untuk kekal menyandang jawatan itu.

“Terima kasih kepada semua penyokong Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) kerana memberi kepercayaa­n kepada kami,” katanya.

Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Ketua pula, Nordin Ahmad yang mendapat 436 undi menewaskan dua pencabarny­a, Norisham Mohamed Ali yang memperoleh 81 undi dan Dornie Engkamat dengan 19 undi sahaja.

Hipridi Bujang pula menang bagi jawatan Naib Ketua apabila menang 421 undi, menewaskan Edward Jalani (101 undi), Robin Ahim (7 undi) dan Mohammad Ali Napiah Hamden (6 undi).

Pemilihan PKR Cabang Sibu untuk calon timbalan presiden PKR juga menyaksika­n ahli PKR Cabang Sibu berpihak kepada Azmin Ali apabila memberi sebanyak 323 undi, menewaskan Rafizi Ramli yang hanya sekadar meraih 89 undi.

Terdahulu, pemilihan PKR Cabang Sibu berjalan lancar pagi ini walaupun terpaksa menukar lokasi pusat pengundian pada saat akhir.

Pusat pengundian yang sepatutnya diadakan di Pejabat PKR Cabang Sibu di Jalan Kampung Datuk di sini, ditukarkan di Hotel Paramount, iaitu berhadapan pejabat PKR berkenaan.

Raafidin ketika ditemui berkata, beliau dihubungi oleh Pengerusi Jawatankua­sa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Datuk Rashid Din sekitar jam 9.15 pagi supaya menukar lokasi pusat pengundian di Hotel Paramount.

Menurut Raafidin, segala bentuk persiapan termasuk permit polis telah diperolehi bagi membolehka­n proses pengundian diadakan di Pejabat PKR Cabang Sibu di sini.

“Sebenarnya, sebelum ini kita ada melihat arahan pertukaran pusat pengundian dalam laman sesawang parti, namun tiada arahan hitam putih secara rasmi daripada ibu pejabat diterima.

“Selepas menerima panggilan telefon (daripada Datuk Rashid) kita akur dengan arahan itu walaupun segala persiapan dan permit polis telah diperolehi beberapa hari lalu,” katanya.

Proses pengundian yang seharusnya bermula jam 9 pagi terpaksa bermula lewat iaitu jam 10.10 pagi susulan arahan pertukaran lokasi mengundi pada saat akhir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia