Utusan Borneo (Sarawak)

Pemuda BERSATU akur keputusan pimpinan tertinggi

-

MUAR: Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan membantah dan mengikut sahaja keputusan pimpinan tertinggi parti dalam menentukan jawatan bagi anggota UMNO yang melompat parti untuk menyertai BERSATU.

Ketua Armada ( Sayap Pemuda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata di pihak pemuda mereka tidak akan campur tangan, dan akan menghormat­i setiap keputusan yang ditentukan oleh pengerusi serta presiden parti berkenaan status bekas anggota UMNO dalam BERSATU.

Bagaimanap­un, pihaknya mengalu-alukan manamana anggota atau pemimpin UMNO yang berhasrat menyertai BERSATU, tanpa mengira peringkat umur, jawatan dan sebagainya, termasuk Pemuda UMNO.

“Kami di peringkat Pemuda bersetuju dengan keputusan yang dilakukan (pengerusi dan presiden) yang tidak memberikan jawatan tertinggi kepada bekas pemimpin UMNO walaupun mereka mempunyai jawatan tertentu dalam parti terdahulu.

“Diharap mereka ini (bekas pemimpin UMNO) faham yang mereka ini ahli baharu untuk BERSATU dan sekiranya mahukan jawatan, perlulah mengikut saluran yang betul sebagaiman­a ahli yang lain,” katanya kepada pemberita ketika melawat Pameran Dunia Kesenian dan Keusahawan­an di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa 1B, di sini, semalam.

Bulan lepas, bekas Menteri Padagangan Antarbangs­a dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang meninggalk­an UMNO pada September menyertai BERSATU. Bekas anggota majlis tertinggi UMNO itu tidak dijanjikan apa-apa jawatan oleh BERSATU dan diterima sebagai anggota biasa sahaja.

Syed Saddiq, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata Pemuda BERSATU turut mengharapk­an anggota parti BERSATU akan terus bertambah dan dengan kepercayaa­n yang semakin diberikan oleh rakyat maka parti itu akan semakin kuat.

Sementara itu, mengenai pameran berkenaan, beliau kagum dengan kebolehan pelajar SJKC Chung Hwa 1B yang mampu menghasilk­an hasil kesenian yang cantik walaupun mereka baharu berumur tujuh atau lapan tahun.

Menurut Syed Saddiq, begitu juga dengan penglibata­n pelajar yang berumur seawal 10 tahun yang telah didedahkan dengan ilmu pengetahua­n berkaitan dengan bidang keusahawan­an, sekali gus menanam minat mereka untuk berniaga.

“Saya berharap aktiviti sihat seperti kesenian dan juga keusahawan­an ini akan dapat diteruskan di masa akan datang agar dapat melahirkan satu kelompok pewaris yang baik serta tidak membuang masa,” katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? LAWATAN: Syed Saddiq (kanan) melihat hasil kerja pelajar pada Pameran Dunia Kesenian dan Keusahawan­an di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa 1B, semalam.
— Gambar Bernama LAWATAN: Syed Saddiq (kanan) melihat hasil kerja pelajar pada Pameran Dunia Kesenian dan Keusahawan­an di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa 1B, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia