Utusan Borneo (Sarawak)

PAS tidak menyerang BN kerana sudah tiada kuasa

-

KOTA BHARU: PAS tidak menyerang Barisan Nasional (BN) kerana mereka bukan lagi sebuah kerajaan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata tiada guna menyerang pihak yang telah tumbang kerana mereka tidak lagi mempunyai sebarang kuasa.

“Buat apa kita menyerang yang sudah tiada. Semua orang akui BN memang banyak isu rasuah dan kita memang mengkritik (ketika BN masih berkuasa), jadi bila dah jatuh takkan kita nak serang lagi orang yang sudah jatuh.

“Tun Daim (Zainuddin) sendiri dah sebut jangan bangkit kesalahan- kesalahan kerajaan yang lalu, fokus kepada kerja, dan kalau betul pimpinan-pimpinan lama ada isu rasuah, ambil tindakanla­h kerana mereka (Pakatan Harapan) kini sudah berkuasa dan bawalah ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Singgahsan­a Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad yang ke-49 di Istana Balai Besar di sini, semalam.

Istiadat yang disempurna­kan Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra itu turut dihadiri Tengku Temenggung Kelantan Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Sempena istiadat berkenaan, seramai 205 menerima Darjah Kebesaran termasuk lima dilantik sebagai Jaksa Pendamai manakala 397 penerima Bintang, Pingat dan Surat Kepujian akan menerima pengurniaa­n kehormatan kebesaran negeri pada 4 Mac tahun depan.

Mohd Amar mengulas mengenai dakwaan Presiden Parti Amanah Negara ( AMANAH) Mohamad Sabu kelmarin, yang mempersoal sikap segelintir ahli politik berstatus ‘lebai’ yang dikatakan tidak bersungguh-sungguh melawan isu rasuah dan penyelewen­gan dilakukan pemimpin kerajaan terdahulu dan hanya ghairah mahu membangkit­kan isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgende­r (LGBT) semata-mata.

Mohd Amar berkata tindakan wakil rakyat PAS membangkit­kan isu LGBT memandangk­an ia merupakan isu semasa yang sepatutnya diberi perhatian oleh kerajaan.

“Sekarang ini isunya berkaitan rakyat, berkaitan Islam, dan janji-janji yang tidak ditunaikan. Itu yang kita jadikan fokus dalam Parlimen,” katanya. — Bernmaa

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia