Utusan Borneo (Sarawak)

Depay inspirasi kebangkita­n Lyon di Stade du Roudourou

-

PARIS, Perancis: Memphis Depay menjaringk­an dua gol dan mengumpan dua gol ketika Lyon bangkit dari ketinggala­n sebelum menewaskan Guingamp 4-2 dalam aksi Ligue 1 Perancis Sabtu lepas.

Marcus Thuram, anak kepada pemenang juara dunia 1998 Perancis, Lilian Thuram, membuka jaringan buat Guingamp pada minit ke-21 perlawanan di Stade du Roudourou.

Tetapi Lyon mengikat kedudukan menerusi gol Houssem Aouar pada minit ke-60 dari umpanan Depay, yang kemudian meletakkan Lyon 2-1 di hadapan dengan satu rembatan di luar kotak penalti.

Depay menjaringk­an gol ketiga dari satu tendangan percuma cantik dan walaupun Thuram merapatkan kedudukan menerusi tendangan penalti minit ke-79, Lyon kembali dengan kelebihan dua gol dari gol Maxwel Cornet lima minit kemudian selepas umpanan cantik dari Depay untuk mengekalka­n Lyon di tangga keempat liga.

“Dua gol, dua umpanan gol, ia menunjukka­n kualiti mental yang kuat,” kata jurulatih Lyon, Bruno Genesio.

“Dapat beraksi seperti itu selepas masalah pada masa rehat kerana dalam kesukaran itu, ia menunjukka­n beliau seorang pemimpin.”

Guingamp kekal di tangga terbawah liga, berkongsi mata dengan Monaco dan dijangka akan melantik semula Jocelyn Gourvennec sebagai jurulatih pada minggu ini selepas memecat Antoine Kombouare Selasa lepas.

Pada perlawanan lain, Montpellie­r gagal merampas kembali kedudukan di tangga kedua dari Lille selepas tewas 0-1 kepada Angers, sekali gus menamatkan 11 perlawanan tanpa kalah. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia