KAJI SUBSIDI BAHAN API
Subsidi hanya kepada kenderaan berkapasiti 1,500cc ke bawah tidak sesuai diaplikasi di Sarawak.
MIRI: Penduduk luar bandar di sini melahirkan rasa tidak puas hati dengan pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Belanjawan 2019 baru-baru ini, mengenai subsidi bahan api yang hanya diberikan kepada kenderaan berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah.
Ketua Pemuda PBB Mulu Usat Bilong berkata kebanyakan masyarakat luar bandar di Sarawak menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang mempunyai kapasiti enjin di atas 2,400cc, bukan kerana mereka berduit dan mampu tetapi kerana keperluan dan keadaan jalan balak yang hanya sesuai untuk kenderaan jenis itu.
“Ini kerana hanya kenderaan jenis 4WD yang mempunyai kemampuan untuk meredah jalan pembalakan di kawasan luar bandar negeri ini.
“Lim Guan Eng harus datang ke sini sebelum membuat anggaran cadangan dan melihat sendiri keadaan di Sarawak,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.
“Sebagai contoh penduduk yang tinggal di kawasan Baram, kami tidak mempunyai pilihan dan perlu membeli kenderaan 4x4 (4WD) dengan kapasiti enjin 2,400cc dan ke atas kerana 90 peratus jalan luar bandar di Baram adalah jalan pembalakan,” tambahnya.
Pengumuman menteri kewangan itu katanya, amat mengejutkan masyarakat luar bandar di negeri ini, sekali gus menyifatkan ia adalah pembentangan bajet yang amat tidak adil kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan.
Menurut Usat yang berasal dari kawasan Mulu, dengan keadaan infrastruktur sekarang jalan pembalakan satu-satunya hubungan yang menyambung luar bandar di sini dengan bandar-bandar besar seperti Miri dan Bintulu dan kenderaan seperti 4WD adalah ‘nadi’ penduduk untuk bergerak dan merancakkan ekonomi mereka.
“Justeru kami penduduk dari kawasan luar bandar ini, amat berasa tidak puas hati serta tidak adil atas cadangan menteri kewangan itu,” tegasnya.
Beliau malah menegaskan, bagi Sabah dan Sarawak, subsidi bahan api harus mencakupi kenderaan berenjin 2,500cc dan ke atas, dengan mempertimbangkan keadaan jalan di kawasan luar bandar yang masih dalam keadaan buruk dan tidak seperti di Semenanjung Malaysia yang mempunyai jalan berturap dan lebuh raya yang baik termasuk ke kampung-kampung.
Sehubungan itu beliau amat berharap Lim dapat melihat dan mengkaji semula subsidi minyak dan mempertimbangkan rayuan masyarakat miskin yang tinggal di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, yang masih memerlukan bantuan kerajaan dan subsidi kerajaan persekutuan.
Berkongsi pandangan yang sama ialah Ketua Pemuda PBB Telang Usan Kaunselor Dominic Nyurang, yang menyifatkan pengumuman menteri kewangan itu sebagai tidak adil kepada penduduk luar bandar terutama di Baram yang miskin dan masih bergantung kepada laluan pembalakan.
Beliau menegaskan bahawa majoriti pemilik kenderaan di Baram menggunakan 4WD dengan kapasiti tidak kurang daripada 2,400cc.
“Ini kerana hakikat bahawa jalan menuju ke kampung kami adalah jalan balak yang berlumpur terutama pada musim hujan, bukan seperti jalan-jalan kampung di Semenanjung sana. Maka hanya kenderaan jenis 4X4 sahaja yang sesuai digunakan di sini,” tegas beliau.
Menurut Dominic, di samping keadaan jalan raya, penduduk di Baram kebanyakannya bergantung kepada pertanian sebagai sumber utama pendapatan mereka.
Justeru, kenderaan 4WD terutama jenis pikap 4X4 adalah pilihan terbaik untuk mengangkut produk pertanian terutama kelapa sawit ke kilang terdekat, selain hasil pertanian dan ternakan lain yang perlu dipasarkan ke pekan-pekan atau bandar utama seperti Miri.
“Ia adalah nadi kami dan (4WD) adalah satu-satunya cara yang amat praktikal serta lebih cepat sebagai pengangkutan di luar bandar.
“Bandingkan dengan 20 tahun yang lalu, di mana perahu panjang adalah satu-satunya pilihan kami,” jelas beliau.
“Jadi, betapa pentingnya kenderaan 4WD ini kepada pendudukBaram yang berfungsi sebagai pengangkutan utama untuk pergi ke bandar dan hospital terdekat di Miri dan di bahagian berdekatan,” tambahnya.
Oleh yang demikian ujarnya, kerajaan harus meneruskan dasar-dasar yang baik untuk membantu rakyat di luar bandar yang dilaksanakan pemerintah sebelumnya.
“Janganlah rakyat yang menjadi mangsa hanya kerana cuba mahu menghilangkan ‘warisan’ kerajaan sebelum ini, sedangkan kerajaan sepatutnya memberi fokus terhadap kebajikan rakyat dan membantu mengurangkan beban kewangan rakyat, sebagaimana yang dilaungkan mereka sebelum pilihan raya dahulu,” ujar Dominic lagi.