Utusan Borneo (Sarawak)

Hubungan Malaysia-Jepun kini berada pada kedudukan paling kukuh

-

KUALA LUMPUR: Tiga kunjungan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jepun baru-baru ini dalam tempoh lima bulan telah meletakkan hubungan Malaysia-Jepun pada kedudukan paling kukuh, yang amat menggembir­akan rakyat kedua-dua negara.

Dr Mahathir mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke luar negara pada Jun, tidak lama selepas menjadi Perdana Menteri buat kali kedua dan Jepun menjadi destinasi pilihan pertamanya.

Semasa 22 tahun berkhidmat kali pertama sebagai perdana menteri bermula 1981, beliau tidak kenal lelah untuk lebih 100 kali ke Jepun terutama untuk mempromosi­kan Dasar Pandang Ke Timur beliau.

Cetusan idea Dr Mahathir ini merupakan satu daripada inisiatif dasar luar negara yang paling berjaya Malaysia laksanakan, dan hasilnya, Jepun adalah pelabur asing terbesar dan terawal di negara ini serta meningkatk­an lagi peranan ekonomi dan bantuannya di Malaysia.

Daripada Dasar Pandang Ke Timur ini, apa yang paling diimpikan oleh Dr Mahathir adalah supaya Malaysia dapat mempelajar­i dan mengamalka­n etika kerja serta sistem nilai rakyat negara matahari terbit itu sehingga mendorong Jepun daripada sebuah negara tanpa sumber semula jadi kepada satu kuasa ekonomi utama dunia.

Malaysia menghantar lebih 16,000 pelajar dan pelatih ke Jepun sejak bertahun-tahun selepas dasar itu diperkenal­kan dan rakyat Malaysia yang terlatih di Jepun ini telah melakukan perbezaan di tempat kerja mereka.

Bagaimanap­un, lawatanter­baharu Dr Mahathir ke Jepun, adalah yang paling menarik serta menjadi tumpuan dan tidak dapat dinafikan yang paling berhasil.

Jepun menyedari kerajaan Malaysia sebelum ini yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengetepik­an Dasar Pandang Ke Timur dan Najib sendiri jarang sekali melawat Jepun dalam tempoh sembilan tahun sebagai perdana menteri tetapi sebaliknya lebih cenderung ke arah China.

“Pentadbira­n kerajaan Malaysia sebelum ini lebih condong ke arah China sebelum Dr Mahathir mengambil alih tampuk pemerintah­an pada Mei di mana beliau telah menyusun semula dasar luar Malaysia dan meningkatk­an kerjasama diplomatik dengan Jepun,” menurut seorang pegawai Kementeria­n Luar Jepun.

Kekerapan lawatan perdana menteri ke destinasi negara yang paling disukainya itu adalah isyarat paling jelas bahawa Dasar Pandang Ke Timur kini bertambah baik dan telah dihidupkan sekali lagi.

Selepas kerajaan baharu Pakatan Harapan berkuasa pada Mei, ia menangguhk­an projek kereta api berkelajua­n tinggi yang menghubung­kan Malaysia dan Singapura yang China juga berminat untuk membina, berikutan hutang kerajaan yang semakin meningkat dan kos projek yang tinggi.

Semasa melawat Beijing pada Ogos, Dr Mahathir memberi amaran terhadap ‘penjajahan versi baharu’ yang jelas merujuk kepada inisiatif Belt and Road China untuk membina infrastruk­tur di pelbagai negara termasuk di Asia.

Dan kali ini di bawah Dasar Pandang Ke Timur yang diberi nafas baharu, perdana menteri berkata Malaysia akan melihat keseluruha­n sistem pendidikan Jepun, bermula dari peringkat tadika hingga ke pendidikan tinggi di universiti. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia