Hanya Sarawak tidak mendapat peruntukan bencana banjir daripada kerajaan persekutuan
KUCHING: Hanya Sarawak negeri yang tidak mendapat peruntukan bencana banjir daripada kerajaan persekutuan.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Sarawak pada kali ini hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan negeri.
“Adalah amat menyedihkan bahawa pada tahun ini, Sarawak tidak mendapat peruntukan bencana banjir daripada kerajaan persekutuan berbanding negerinegeri lain.
“Begitu juga Sarawak tidak diperuntukkan ‘ Psychological Support Team’ untuk memberi khidmat kaunseling kepada mangsa banjir,” katanya pada ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Bagaimanapun ujarnya, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah mengemukakan rayuannya kepada kerajaan persekutuan.
Menurut Fatimah, pada tahun ini terdapat 477 kes banjir telah diberi bantuan berjumlah RM3.4 juta.
“Bagi keseluruhan kes bencana pula, sebanyak RM9.5 juta telah dibelanjakan yang merangkumi bantuan kebakaran (108 kes dengan kos perbelanjaan RM2.8 juta), tanah runtuh (13 kes dengan kos perbelanjaan RM49,000), ribut (63 kes dengan kos perbelanjaan RM129,000) dan kemarau (468 kes dengan kos perbelanjaan RM3.1 juta).
“Kos perbelanjaan bencana pada tahun 2018 menunjukkan peningkatan sebanyak 28 peratus jika dibandingkan dengan kos perbelanjaan bencana RM7.4 juta pada 2017. Kesemua peruntukan ini adalah daripada kerajaan negeri,” ujarnya.
Bercakap mengenai banjir, beliau berkata, kerajaan telah bersiap siaga menghadapi bencana tersebut.
“Bagi kesiapsiagaan menghadapi banjir, kita telah selesai melaksanakan latihan simulasi di enam kawasan pangkalan hadapan iaitu bahagian Kuching di SK Beradek,
bahagian Sarikei ( Ulu Bayong), bahagian Limbang ( Kampung Telahak, Jalan Meritam), bahagian Bintulu (Klinik Tab Timber, Sebauh), bahagian Miri (Ulu Tinjar, Baram) dan bahagian Kapit (Uma Sambop, Belaga).
“Adalah diharapkan usaha pemerkasaan komuniti setempat dalam siapsiagaan menghadapi bencana ini dapat mempercepatkan penyampaian bantuan kepada mangsa di kawasan- kawasan yang sukar dan terputus hubungan semasa banjir,” jelasnya.
Dalam hal lain, beliau memberitahu bahawa pengumuman pemberian insentif RM1,000 kepada setiap kelahiran anak Sarawak bermula 2019 telah mendapat sambutan hangat daripada wakil rakyat merangkumi warga Sarawak sendiri.
Katanya, dana sumbangan (Endowment Fund) kerajaan negeri dan ia hanya boleh dikeluarkan apabila anak tersebut mencapai usia 18 tahun sebagai usaha untuk membantu keluarga membiayai persiapan awal kemasukan anak mereka ke institusi pengajian tinggi atau sebagai ‘Capital Grant’ untuk memulakan kerjaya.
“Setiap anak Sarawak yang dilahirkan daripada pasangan ibu bapa atau salah seorang daripada mereka mempunyai ‘Sarawak Connection’ dengan Indikator K dalam MyKad, layak mendapat ‘Endowment Fund’ ini sekiranya mereka berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara tanpa mengira bangsa, agama, status sosioekonomi atau tempat kelahiran.
“Sekiranya anak itu meninggal dunia sebelum mencapai umur 18 tahun, ‘Endowment Fund’ tersebut akan dipindahkan kepada nama pewaris sehingga tamat tempohnya,” tambahnya.
Fatimah turut memberitahu bahawa sebuah ‘Cure and Care Rehabilitation Centre’ (CCRC) yang dapat menempatkan 400 penagih dadah sedang dalam proses pembinaan di Puncak Borneo.
Bagi aspek kebajikan, fatimah berkata, meskipun berhadapan dengan kekangan logistik dan personel, kesungguhan dan usaha kerajaan untuk mencapai dan memberi bantuan kepada setiap individu yang memerlukan dapat direalisasikan kerana adanya kerjasama ahli masyarakat setempat dalam mengenal pasti individu yang memerlukan di kawasan masing-masing.
“Statistik yang menunjukkan peningkatan bilangan penerima adalah hasil daripada kerjasama tersebut. Pada tahun 2016 — 57,047 kes (RM190.7 juta), 2017 — 57,588 kes.