Utusan Borneo (Sarawak)

Hanya kupon makan, minum bernilai RM7, bukan politik wang: Hung

-

SIBU: Ia kupon makan dan minum bernilai RM7, bukan politik wang untuk membeli undi, tegas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Lanang yang baharu, Hung Soon Kieng.

Beliau berkata demikian bagi menjelaska­n kepada orang awam mengenai dakwaan berlaku politik wang dalam pemilihan PKR di Cabang Lanang, di sini Sabtu lalu.

“Di sini saya mahu menjelaska­n bahawa saya telah menang tanpa bertanding (dalam pemilihan PKR di cabang Lanang), jadi apa perlunya saya membeli undi.

“Jadi, semua dakwaan ini adalah palsu,” katanya dalam satu sidang media di sini petang kelmarin.

Hadir sama Ketua Cabang PKR Kanowit George Chen dan Ketua Cabang PKR Sibu Abdul Raafidin Majidi.

Jelas beliau, mana-mana ahli PKR Cabang Lanang yang datang membuang undi pada hari tersebut diberikan kupon makan dan minum bernilai RM7.

Malah, tambahnya kupon tersebut diberikan kepada semua pengundi tanpa mengira mereka penyokong calon Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau Rafizi Ramli.

“Ini kerana semua ahli PKR adalah seperti sebuah keluarga, kita tidak memilih bulu sama ada mereka menyokong Azmin atau Rafizi,” jelasnya.

Susulan dakwaan itu, beliau berasa kesal dan menafikan sekeras-sekerasnya berlaku politik wang semasa pemilihan PKR di Cabang Lanang.

Katanya, dakwaan itu boleh memberi kesan terhadap kepercayaa­n orang awam kepada proses pemilihan PKR.

Sementara itu, dalam sebuah portal berita tempatan melaporkan satu laporan polis dibuat oleh Pasukan Reformasi 20 Tahun mendakwa wujudnya politik wang dalam pemilihan PKR di Cabang Lanang di sini.

Hung turut ditanya sama ada membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut, dengan menjawab: “Tidak, kami tidak perlu berbuat begitu kerana dakwaan ini adalah palsu, jadi mengapa kami perlu buat laporan polis.”

Pemilihan PKR Cabang Lanang diadakan di Pejabat PKR Cabang Lanang, Jalan Chengal di sini menyaksika­n Hung menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Cabang.

Jawatan Timbalan Ketua dimenangi Law Hin Ching diikuti Naib Ketua ialah Chua Seng Yew.

 ??  ?? HUNG SOON KIENG
HUNG SOON KIENG

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia