Utusan Borneo (Sarawak)

Kartunis Zunar fail saman terhadap pegawai penyiasat, KPN, kerajaan

-

GEORGE TOWN: Kartunis Zulkiflee SM Anwarul Haque atau Zunar semalam memfailkan saman terhadap seorang pegawai penyiasat, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia berhubung rampasan 10 buah lukisan hasil lakarannya dalam sebuah pameran di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), dua tahun lalu.

Zunar memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini semalam menerusi Tetuan Amareson & Meera.

Dalam saman itu, Zunar yang hadir di mahkamah, menamakan Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Bahagian Siasatan Jenayah Timur Laut Pulau Pinang ASP Rusli Tipu sebagai defendan pertama, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua serta ketiga.

Menerusi pernyataan tuntutan, kartunis itu mendakwa defendan-defendan (dan/atau ejen-ejen mereka) pada 26 November 2016, tanpa ada sebab atau tujuan munasabah, telah menyerbu pameran di KOMTAR dan menyita 10 panel daripada hasil lukisan serta menahannya secara paksa.

Pelukis itu selaku plaintif berkata pada 2016, beliau telah diberikan anugerah berprestij ‘Anugerah Kartunis untuk Keamanan 2016’ dan dijemput untuk mempamerka­n hasil-hasil kerjanya di Festival Sastera George Town 2016.

Plaintif mendakwa penyitaan hasil-hasil lukisannya adalah menyalahi undang-undang dan penahanan secara paksaan telah menyebabka­n pameran tersebut ditutup.

Zunar yang diwakili peguam Cecil Rajendra turut mendakwa gangguan kepada pameran terbabit dan penahanan beliau telah menyebabka­n kesakitan peribadi terhadapny­a selain penderitaa­n malu serta kehilangan sumber pendapatan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia