Utusan Borneo (Sarawak)

Penganggur dipenjara kerana pecah rumah dan mencuri

-

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dipenjara dua tahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pecah rumah milik seorang jurutera dengan niat untuk mencuri barang bernilai keseluruha­n RM5,000.

Hakim Dr Gan Chee Keong menjatuhka­n hukuman itu terhadap Ahmad Kamil Mohamed Zain, 27, dan memerintah­kannya menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 5 Okt lepas serta mengarahka­nnya dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Lelaki itu yang tidak diwakili peguam didakwa memecah masuk kediaman Ariff Johan Anuwi, 28, dan mencuri barang-barang milik mangsa iaitu enam utas jam tangan, sebentuk cincin emas, seutas rantai emas dan wang tunai pelbagai jenis matawang asing di sebuah unit, di Residensi Chymes Gurney, Jalan Persiaran Gurney, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, antara jam 11.30 pagi hingga 1.30 petang, pada 3 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara lima tahun dan boleh dikenakan denda dan jika kesalahan yang dimaksudka­n hendak dilakukan itu kesalahan mencuri maka tempoh penjara bolehlah dilanjutka­n hingga 14 tahun dan mana-mana bagi satu kesalahan yang dilakukan kali kedua atau seterusnya bolehlah juga dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu Ahmad Kamil merayu hukuman ringan dan denda manakala Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhd Faizal memohon hukuman setimpal mengambil kira keseriusan kesalahan agar memberi pengajaran terhadap tertuduh supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pada jam 6 petang mangsa yang baharu pulang ke rumah mendapati pintu hadapan rumahnya terbuka di mana bilik utama berselerak dan barang miliknya telah hilang, lalu dia membuat laporan polis dan hasil siasatan polis menerusi rakaman kamera litar tertutup menunjukka­n tertuduh berada pintu pagar utama kawasan kediaman tersebut.

Hasil siasatan juga mendapati tertuduh telah menjual barang-barang milik pengadu iaitu rantai leher dan cincin emas kepada seorang pekerja di kedai emas MZ Jewellery pada hari kejadian pada jam 7 malam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia