Utusan Borneo (Sarawak)

KPDNHEP rampas 673 tong LPG bernilai RM72,647

-

KULAI: Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Johor merampas sebanyak 673 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM72,647 dalam satu serbuan di sebuah premis di Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru, Jumaat lepas.

Pengarah KPDNHEP Khairul Anwar Bachok berkata serbuan pada jam 9 pagi itu adalah hasil maklumat dan aduan awam serta risikan pegawai dan anggotanya selama hampir dua minggu terhadap premis berkenaan yang terletak di sebuah kawasan tanah lot berpagar.

Menurutnya, rampasan itu terdiri daripada 32 tong 12 kilogram (kg), 627 tong 14kg, 14 tong bagi 50kg dengan berat keseluruha­n sebanyak 9,862kg.

Turut dirampas dalam serbuan itu tiga lori bernilai RM270,000 menjadikan jumlah keseluruha­n rampasan bernilai RM342,647.

“Ini merupakan rampasan terbesar kita untuk tahun ini. Kita dapati wujudnya aktiviti penyelewen­gan barang kawalan LPG bersubsidi disimpan di premis itu yang tidak dilesenkan,” katanya kepada pemberita di Stor Simpanan KPDNHEP Senai, di sini semalam.

Menurut Khairul Anwar, hasil siasatan awal turut mendapati aktiviti haram yang menjadikan premis itu sebagai stor penyimpana­n LPG berkenaan, turut mendapati barang kawalan itu diedar di sekitar Masai dan Pasir Gudang sejak tiga hingga lima bulan lepas.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengambil keterangan seorang lelaki tempatan yang juga pemilik premis dan seorang pekerja warganegar­a Indonesia, kedua-duanya berumur 40 tahun.

Menurutnya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 20 (1) Akta Kawalan 1961 dan Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Setakat September lepas, sebanyak RM1.14 juta jumlah denda terkumpul dicatatkan bagi kes dituduh di mahkamah bagi tahun ini dengan 98 pertuduhan.

Katanya, KPDNHEP memandang serius terhadap mana-mana individu mahupun pertubuhan yang menjalanka­n urus niaga atau aktiviti berkaitan barang kawalan tanpa lesen atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia