JKR akan kemuka cadangan naik taraf 14 persimpangan di Kuching
KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengemukakan cadangan menaik taraf 14 persimpangan di bandar raya ini untuk dipertimbangkan kerajaan negeri dan persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, JKR telah mengenal pasti 14 lokasi bagi menaik taraf persimpangan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuching.
“JKR akan mengemukakan cadangan untuk memperbaiki 14 simpang untuk dipertimbangkan kerajaan negeri atau persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
“Bagaimanapun kos projek yang dianggarkan sebanyak RM20 juta setiap satu untuk jalan bawah jejantas rendah tidak lagi mencerminkan harga pasaran pembinaan semasa,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan DUN di sini, semalam.
Antara lokasi yang dikenal pasti termasuk bulatan Datuk Menteri Abang Haji Mohammad Zin Bin Haji Salleh di Jalan Tun Abdul Rahman Yakub.
Bulatan Datuk Amar Abang Haji Suleman Haji Taha di Jalan Tun Abdul Rahman Yakub, persimpangan Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce/ Jalan Green, persimpangan Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce/ Jalan Nanas/ Jalan Badruddin.
Selain itu persimpangan Jalan Rock/Jalan Permata/ Jalan Laksamana Cheng Ho, persimpangan Jalan Rock/ Jalan Green/ Jalan Batu Lintang/ Jalan Tun Abang Haji Openg, persimpangan Jalan Tun Abang Haji Openg/ Jalan Badruddin/Jalan Taman Budaya.
Persimpangan Jalan Tun Abang Haji Openg/ Jalan Taman Budaya/Jalan Satok, persimpangan Jalan Satok/ Jalan Green/Jalan Kulas/Jalan Muhibbah, persimpangan Jalan Tabuan/Jalan Mendu/ Jalan Batu Lintang/ Jalan Simpang Tiga.
Selain itu, persimpangan Jalan Tun Razak/Jalan Foochow 1/Jalan Rengas, persimpangan Jalan Tun Razak/Jalan Sungai Apong, persimpangan Jalan Wan Alwi/Jalan Urat Mata/ Jalan Bayor Bukit dan bulatan Jalan Wan Alwi/Jalan Setia Raja/Jalan Canna.