Utusan Borneo (Sarawak)

ADUN pembangkan­g Kedah keluar dewan serentak, protes ADUN Guar Chempedak

-

ALOR SETAR: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkan­g PAS dan Barisan Nasional (BN) Kedah semalam bertindak keluar dewan secara serentak apabila tiba giliran ADUN Guar Chempedak Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail membahaska­n Rang Undangunda­ng Perbelanja­an Negeri 2019.

Ketua Pembangkan­g Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Muhammad Sanusi Md Noor berkata, mereka berbuat demikian atas semangat setia kawan sebagai blok pembangkan­g menunjukka­n protes terhadap tindakan Ku Abdul Rahman yang keluar daripada UMNO untuk menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Kita menentang budaya melompat parti dan termasuk kita menentang Pakatan Harapan yang sentiasa memujuk pembangkan­g sama ada di peringkat DUN dan persekutua­n untuk masuk manamana parti dalam Pakatan Harapan untuk menguatkan parti mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di luar persidanga­n di sini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas, PAS Kedah memenangi 15 kerusi manakala BN menang tiga kerusi, namun persidanga­n DUN Kedah kelmarin dimaklumka­n bahawa Ku Abdul Rahman keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Pengumuman itu dibuat Speaker DUN Datuk Ahmad Kassim sebaik persidanga­n bermula sebelum sesi soalan lisan berlangsun­g pagi kelmarin, sekali gus menjadikan DUN Kedah kini hanya mempunyai 17 ADUN pembangkan­g.

Muhammad Sanusi berpendapa­t tindakan keluar parti itu satu budaya mengkhiana­ti kepercayaa­n pengundi yang memilih wakil rakyat terbabit berdasarka­n kapasiti dan lambang parti asalnya sebelum ini.

Sementara itu, ADUN BN Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob berkata, beliau menyambut baik kesatuan ditunjukka­n ADUN PAS kerana tindakan ADUN Guar Chempedak dilihat seperti tidak menghormat­i parti dan blok pembangkan­g apabila keluar parti ketika sidang DUN berlangsun­g.

“...saya bersetuju dengan kenyataan Ketua Pembangkan­g semalam ( kelmarin) yang mengatakan tindakan tersebut adalah perbuatan pengecut kerana keluar parti sewaktu parti dalam kesusahan,” katanya.

Dalam pada itu, Ku Abdul Rahman pada akhir perbahasan­nya semalam memohon maaf kepada Suraya dan seorang lagi ADUN BN, Datuk Norsabrina Mohd Noor (Bandar Baharu) atas tindakanny­a keluar daripada UMNO.

“Ini bukan suatu keputusan yang mudah, amat sukar bagi saya...ini satu penghijrah­an kepada saya, Islam menggalakk­an umatnya berhijrah,” katanya.

Persidanga­n dewan bersambung hari ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia