Utusan Borneo (Sarawak)

Stok getah asli susut 2.3% pada September 2018

-

KUALA LUMPUR: Stok getah asli Malaysia susut 2.3 peratus kepada 179,844 tan pada September 2018 daripada 184,051 tan yang dicatatkan pada Ogos 2018, demikian menurut Jabatan Perangkaan semalam.

Ketua Perangkawa­n, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 52,365 tan bagi bulan yang sama, turun 9.2 peratus berbanding Ogos 2018 dengan China sebagai destinasi utama (49.4 peratus), diikuti Jerman (16.8 peratus), Finland (5.4 peratus) dan Korea Selatan (3.0 peratus) dan Turki (2.8 peratus).

Penggunaan domestik getah asli pada September 2018 adalah sebanyak 41,219 tan berbanding 42,984 tan pada Ogos 2018, penguranga­n sebanyak 4.1 peratus.

“Industri sarung tangan getah sebagai pengguna utama menggunaka­n sebanyak 31,454 tan atau 76.3 peratus daripada jumlah keseluruha­n penggunaan domestik getah asli,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, beliau berkata, pengeluara­n getah asli Malaysia pada September mencapai 49,022 tan, turun 22.0 peratus daripada 62,862 tan pada Ogos. Perbanding­an tahun ke tahun menunjukka­n pengeluara­n menurun 6.1 peratus.

Harga purata lateks pekat pula adalah 409.18 sen sekilogram dan harga purata bagi Getah Mutu Malaysia 20 ialah 544.29 sen sekilogram.

Kedua-dua harga menunjukka­n kenaikan masing-masing sebanyak 0.5 peratus dan 0.2 peratus daripada harga purata pada Ogos 2018, katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia