Utusan Borneo (Sarawak)

BAYARAN KHAS RM500 SEBELUM 25 DISEMBER

- — Bernama

PUTRAJAYA: Bayaran khas sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah yang dicadangka­n dalam Belanjawan 2019 akan dibayar sebelum 25 Disember depan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam.

“Ini kali pertama kita bayar bonus pada tahun yang sama. Sebelum ini (bayaran khas) dibayar pada tahun berikutnya.

“Belanjawan 2018 memang tiada. Maka, kita akan mencari sumber.

“Kita berharap menerusi pelaksanaa­n Cukai Jualan dan Perkhidmat­an (SST) akan menambah sedikit (pendapatan) untuk menampung bonus pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum itu, Lim menghadiri Majlis Mesra Warga Kastam Bersama Menteri Kewangan sempena Sambutan Deepavali 2018 di Kompleks Kementeria­n Kewangan.

Ketika membentang­kan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu, Lim berkata kerajaan mencadangk­an bayaran khas sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah sebagai tanda penghargaa­n kepada usaha dan dedikasi penjawat awam melaksanak­an tugas yang diamanahka­n.

Selain itu, kerajaan juga mengumumka­n bayaran khas sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan.

Bayaran khas itu melibatkan peruntukan berjumlah RM1 bilion.

Ditanya mengenai khabar angin rombakan kabinet, Lim berkata: “Saya tidak dengar langsung.”

Sebuah portal sebelum ini melaporkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan rombakan kabinet bulan depan kerana tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa menteri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Portal itu mendakwa Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Menteri Pembanguna­n Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun antara yang bakal digugurkan.

Lim dalam pada itu menolak dakwaan bahawa peruntukan untuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam Belanjawan 2019 dikurangka­n separuh berbanding 2018 dan penguranga­n itu mempunyai kaitan dengan hasrat kerajaan meratifika­si Konvensyen Antarabang­sa Mengenai Penghapusa­n Segala Bentuk Diskrimina­si Kaum (ICERD).

“Ini adalah tidak benar. Peruntukan MARA tidak dipotong separuh. Ia masih wujud dan terus diuruskan dua hingga tiga kementeria­n. Sekiranya anda lihat (peruntukan untuk MARA) kurang, ia kerana fungsinya telah dipisahkan kepada kementeria­n lain,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia