Utusan Borneo (Sarawak)

Elak beri respons terus perkara berkaitan agama di media sosial

-

KUCHING: Semua pihak termasuk ketua institusi agama di bawah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dinasihati agar mengelak memberi respons terus perkara berkaitan agama di media sosial.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebaliknya mereka perlu membawa perkara itu kepada UNIFOR bagi membolehka­n isu dibincang bersama.

“Saya menggesa kepada semua jika anda ternampak apa sahaja di Internet terutama berkaitan agama elakkan daripada memberi respons terus.

“Bawa ia kepada UNIFOR dan di sini kita akan duduk berbincang untuk mendapatka­n isu dengan lebih terperinci kerana kadangkala Internet bukan sahaja menjadi platform berkuasa untuk berita baik tetapi berita mengeliruk­an serta menjadi batu api,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Memberkati Pejabat Baharu UNIFOR yang disempurna­kan Uskup Agung Gereja Roman Katolik Kuching Simon Poh dan dihadiri Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian di Wisma Satok di sini, semalam.

Malahan kata Uggah yang juga menteri bertanggun­gja- wab kepada UNIFOR, jika perkara itu perlu dibawa kepada kerajaan, beliau akan menjadi wakil serta wakil rakyat yang berkaitan.

Jelasnya mereka akan membawa isu itu kepada pihak berkuasa yang sewajarnya untuk melihat serta menyelesai­kan perkara berkenaan.

“Ini kerana pada penghujung­nya nanti, kebolehan untuk kita menyelesai­kan isu akan memberi kesan kepada apa dinikmati kita hari ini.

“Sekiranya ada masalah kita harus berbincang dan Sarawak adalah liberal, cuma kadangkala yang selalu membawa kepada isu ini adalah ‘ahli politik’,” tegasnya.

Sehubungan itu UNIFOR kata beliau, bercadang menubuhkan satu jawatankua­sa dan majlis penasihat agar mempunyai pasukan yang betul dan dapat merancang hala tuju unit itu.

“Jawatankua­sa ini juga menjadi wadah kepada kita berinterak­si dengan rakan kita yang Muslim.

“Kita perlu membawa mereka untuk membincang­kan isu berkaitan bagi mengelak salah faham yang boleh membinasak­an,” katanya.

Uggah berkata, Sarawak amat unik dan mempunyai dasar inklusif kepada semua pihak.

Sehubungan itu Kerajaan Sarawak sebelum ini memutuskan untuk menubuhkan UNIFOR sebagai platform berbincang dan hala tuju kepada setiap institusi agama.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Bekalan Air Datuk Liwan Lagang, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil dan Pengarah UNIFOR Datu Dr Ngenang Janggu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia