Utusan Borneo (Sarawak)

Ketiadaan Rodriguez tamparan hebat bagi Bayern

-

BERLIN: Pemain tengah Colombia James Rodriguez dijangka tidak akan bermain lagi pada tahun ini selepas dia menyertai senarai pemain cedera Bayern Munich setelah mengalami kecederaan ligamen lutut ketika berlatih.

Rodriguez merupakan pemain tengah keempat di kelab juara Jerman itu yang diketepika­n bersama Thiago Alcantara, Corentin Tolisso, Kingsley Coman dan Arjen Robben.

“Ini ternyata berita buruk. James seorang pemain yang sangat penting, pada pengamatan saya dia adalah pemain terbaik kami, minda yang kreatif, dan kita tidak ada orang lain sepertinya,” kata penyerang Bayern, Sandro Wagner.

Lutut pemain Colombia berusia 27 tahun itu tidak akan digerakkan selama 10 hari dan kemudian dia akan menjalani fisioterap­i dan pemulihan, Bayern mengesahka­n kelmarin tetapi tidak memberi tarikh untuk dia kembali.

Rodriguez dijangka tidak akan bermain lagi pada 2018 kerana cuti musim salji dalam Bundesliga bermula pada 23 Disember.

Ketiadaan Rodriguez adalah satu tamparan hebat bagi pasukan Bayern yang tidak menunjukka­n prestasi yang konsisten.

Anak buah Niko Kovac tewas dalam tiga daripada enam perlawanan liga terakhir mereka dan jatuh ke tempat kelima dalam carta liga selepas kekalahan 3-2 pada Sabtu lepas di Borussia Dortmund untuk duduk tujuh mata di belakang pendahulu Dortmund.

Rodriguez, penjaring terbanyak di Piala Dunia 2014 dan dipinjamka­n dari Real Madrid hingga hujung musim, mempamerka­n prestasi yang baik dengan jaringan penting dalam kemenangan liga ke atas Bayer Leverkusen, Schalke dan Wolfsburg.

Namun laporan mendakwa pemain Colombia itu tidak gembira di Bayern. Dia digugurkan untuk kekalahan Sabtu lepas di Dortmund, dilaporkan kerana dia tiba lewat untuk latihan, yang dinafikan oleh kelab itu kemudian.

Sementara itu, Coman, 22, dijangka akan kembali ke dalam skuad selepas dia mencederak­an ligamen buku lali pada Ogos lalu dalam perlawanan pertama pada musim ini. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia