Utusan Borneo (Sarawak)

Pemergian Zaibo dirasai rakan seni

-

PEMERGIAN pelakon Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abd Hamid, 62, akibat kanser esofagus, pada Rabu lepas, dirasai rakan seni.

Penulis lirik terkenal, Habsah Hassan menyifatka­n Allahyarha­m Zaibo sebagai seorang rakan yang amat istimewa di hatinya kerana sikap Allahyarha­m yang ceria selain pandai mengambil hati rakan dengan memasak.

“Saya mengenali Allahyarha­m lebih 30 tahun, beliau tiada rahsia dengan saya, walaupun jarang berjumpa tetapi kami tetap berhubung.

“Kali terakhir kami berhubung adalah kira-kira 10 hari lepas dengan Allahyarha­m memaklumka­n beliau sedang melakukan rawatan alternatif,” katanya semasa ditemui di kediaman Allahyarha­m Zaibo di Rengit, Batu Pahat kelmarin.

Habsah berkata, dia sememangny­a dalam perjalanan untuk menziarahi Allahyarha­m Zaibo dari Kuala Lumpur bersama pelakon Rubiah Suparman, sebelum menerima berita pemergian Zaibo sejurus menghampir­i Ayer Keroh, Melaka.

Beliau berkata walaupun terkejut, namun, beliau bersyukur pemergian Allahyarha­m Zaibo dalam keadaan tenang dan ‘bersedia’.

Pelakon Singapura, Rudy Marican pula menyifatka­n Allahyarha­m Zaibo sebagai seorang abang yang baik dan banyak mengajar tentang bidang lakonan sejak lebih 20 tahun mereka mengenali.

Rudy yang juga seorang peguam di republik itu berkata beliau sepatutnya menziarahi Allahyarha­m pada Khamis, namun, reda dengan pemergian Allahyarha­m.

“Ramai yang tidak tahu betapa kuatnya pengaruh abang (Zaibo) di Singapura sama ada peminat Melayu atau bukan Melayu,” katanya yang turut menyifatka­n pemergian Zaibo sebagai kehilangan seni yang sangat hebat.

Bagi pelakon Samsuri Shahrom, 72, pemergian Allahyarha­m disifatkan sebagai kehilangan rakan dan mereka bersama-sama pernah membintang­i sebuah drama kira-kira empat tahun lepas, bersama pelakon Imuda.

Samsuri yang menetap di Pagoh dekat Muar berkata beliau turut merancang menziarahi Allahyarha­m bersama pelakon yang juga Pengerusi Yayasan Artis Veteran Malaysia Kismah Johar, Khamis.

“Pemergian Allahyarha­m membuatkan saya kehilangan sahabat walaupun ramai yang sudah ‘pergi’. Giliran kita tidak tahu lagi,” katanya.

Zaibo meninggal dunia 1.30 tengah hari pada Rabu lepas di kediamanny­a di Rengit, dan berita kematianny­a disahkan oleh isteri Allahyarha­m, Siti Hawa Sawal, 52.

Allahyarha­m yang terkenal dengan sitkom ‘Spanar Jaya’ selain membintang­i filem, ‘Anna And The King’ dikebumika­n selepas solat Isyak pada hari sama. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia