Utusan Borneo (Sarawak)

870,265 hektar tanah berjaya diukur perimeter setakat Oktober

-

BINTULU: Kerajaan negeri telah berjaya mengukur perimeter tanah seluas 870,265 hektar atau bersamaan 2,150,425 ekar di seluruh negeri setakat Oktober tahun ini.

Daripada jumlah itu, 687,258 hektar (1,698,215 ekar) telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri di bawah Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembanguna­n Bandar dan Sumber Asli Kedua serta Menteri Pembanguna­n Perindustr­ian dan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pencapaian pengukuran perimeter itu turut meliputi kawasan di Bintulu seluas 60,277.93 hektar (148,950 ekar) dan daripada jumlah itu, seluas 39,494.7 hektar(97,593.5 ekar) telah diwartakan.

Di bawah program kedua katanya, kawasan di bawah Seksyen 6 tersebut akan diukur secara lot individu dan setakat ini, 22,983 lot individu telah berjaya diukur melibatkan kawasan seluas 28,807 hektar (71,182 ekar) yang telah dan akan dikeluarka­n surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

Katanya, di Bintulu sebanyak 1,255 lot individu berjaya diukur melibatkan kawasan seluas 2,607.54 hektar (6,443.37 ekar) yang telah dan akan dikeluarka­n surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

Sehubungan itu, beliau menyeru pemilik tanah agar memberi kerjasama sepenuhnya dalam kerja pengukuran terutamany­a membabitka­n lot-lot tanah individu.

“Usaha ini memperliha­tkan bahawa kerajaan negeri telah mengotakan janjinya di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri, mengukur lot individu dan mengeluar surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri,” ujarnya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Muda Perancanga­n Bandar, Pentadbira­n Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh pada Majlis Penyampaia­n Surat Hak Milik Tanah dan Warta Rizab Komunal Bumiputera di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Wisma Bintulu, kelmarin.

Dalam tempoh 10 tahun lepas katanya, kerajaan persekutua­n terdahulu telah memberikan peruntukan RM161 juta untuk pengukuran perimeter dengan peruntukan RM20 juta setahun, tetapi malangnya Belanjawan 2019 yang dibentangk­an oleh Menteri Kewangan barubaru ini tidak menyebut peruntukan- peruntukan untuk Jabatan Tanah dan Survei (JTS) menjalanka­n pengukuran perimeter untuk tahun akan datang dan tahun-tahun seterusnya.

Disebabkan itu katanya, kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) beberapa hari lepas melalui Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengumumka­n penyediaan peruntukan RM40 juta untuk meneruskan usaha pengukuran perimeter.

Beliau berkata, objektif pengukuran tanah adalah bagi mengesahka­n sempadan tuntutan pemilik tanah dan bagi melaksanak­an proses pengukuran tersebut, ia perlu melalui proses penyiasata­n terperinci untuk mengelak pertindiha­n.

“Kita melihat JTS yang kini telah 100 tahun ditubuhkan, mempunyai kepakaran dan pengalaman untuk mengendali­kan kerja-kerja pengukuran termasuk penilaian

dan sebagainya, sebab itu kerjasama daripada rakyat penting untuk JTS meneruskan usaha ini dan memudahkan kerja mereka demi untuk kepentinga­n rakyat negeri ini,” katanya.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap ADUN Kakus Datuk John Sikie Tayai, ADUN Samalaju Majang Renggi, Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat, Timbalan Pengarah Operasi JTS Sarawak Kueh Hui Urg dan Penguasa JTS Bintulu Kiu Chiong Chong.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia