Utusan Borneo (Sarawak)

Inspektor polis dipenjara dua tahun kerana cabul kehormatan wanita

-

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam mensabitka­n dan menjatuhi hukuman penjara dua tahun terhadap seorang inspektor polis kerana mencabul kehormatan seorang petugas wanita di dalam lif Ibu Pejabat polis di Negeri Sembilan pada 2012.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim menolak pembebasan N. Prabu daripada pertuduhan itu berikutan rayuan pihak pendakwaan.

Prabu, 34, diperintah­kan menjalani hukuman penjara mulai semalam.

Hakim Ahmadi yang mempengeru­sikan panel hakim itu berkata, mahkamah men- jatuhi hukuman penjara dua tahun selepas mengambil kira fakta bahawa Prabu adalah inspektor polis dan merupakan timbalan ketua bahagian Narkotik di ibu pejabat polis daerah Jempol ketika kesalahan itu dilakukan terhadap seorang wanita yang bekerja di ibu pejabat polis yang sama.

Beliau berkata kesalahan itu seharusnya memberi pengajaran kepada Prabu.

Prabu didakwa mencabul kehormatan wanita berusia 39 tahun itu dengan menyentuh payudarany­a di dalam lif Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan pada jam 12.30 tengah hari, 29 Nov 2012.

Dia pada mulanya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil membela diri dan Mahkamah Tinggi mengekalka­n keputusan itu.

Berikutan rayuan oleh pihak pendakwaan, Mahkamah Rayuan memerintah­kan Prabu supaya membela diri.

Di akhir kes pembelaan, dia sekali lagi dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi mengekalka­n keputusan itu, menyebabka­n pihak pendakwaan mengemukak­an rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail mewakili pendakwaan manakala Prabu diwakili peguam Datuk Hanif Hassan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia