Utusan Borneo (Sarawak)

Mayat rentung dalam kereta: Empat suspek ditahan

-

IPOH: Polis Perak menahan empat suspek termasuk dua wanita bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan rentung dipercayai dibunuh dalam kereta yang terbakar di ladang kelapa sawit di Jalan Kampung Banjar dekat Teluk Intan, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata keempat- empat suspek berusia antara 24 hingga 37 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan di daerah Hilir Perak dalam operasi yang dijalankan bermula jam 2 petang hingga 8 malam kelmarin.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku dipercayai berpunca akibat masalah peribadi membabitka­n teman wanita.

“Siasatan masih diteruskan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kesemua suspek direman tujuh hari mulai semalam hingga 22 Nov,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamata­n Komuniti ( JPJKK) Perak di sini semalam.

Kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Yahya Abd Rahman berkata mayat berkenaan ditemui berada di tempat duduk penumpang hadapan di sebelah kiri dalam keadaan hangus terbakar keseluruha­n dan identiti serta jantina mangsa masih belum dikenal pasti termasuk jenis kenderaan.

Pada majlis serah terima tugas itu, bekas Ketua Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang ( STAFOC) Bukit Aman, SAC Mohamad Laham, menerima tugas sebagai Ketua JPJKK Perak berkuat kuasa semalam.

Mohamad, 59, menggantik­an Datuk T Selven, 57, yang bertukar sebagai Ketua Penolong Pengarah Penataan dan Analisa JPJKK Bukit Aman, Isnin ini selepas berkhidmat lebih tiga tahun sebagai Ketua JPJKK Perak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia