Utusan Borneo (Sarawak)

Polis rampas 1.6 tan daun ketum bersama ubat batuk dalam Ops Selamat

-

Polis berjaya merampas sejumlah 1.6 tan daun ketum dan ubat batuk bernilai RM70,100 dalam Ops Selamat di Pasir Mas pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Abdullah Mohammad Piah berkata, rampasan dilakukan hasil sekatan jalan raya yang diadakan pada jam 11.30 pagi, 31 Januari lalu di hadapan sebuah pasar raya di Pasir Mas.

Beliau berkata kesemua daun ketum bersama sejumlah ubat batuk yang dirampas dimuatkan ke dalam sebuah lori ais yang bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

“Hasil siasatan awal yang dilakukan pemandu lori berumur 32 tahun mengaku mendapat upah sebanyak RM500 bagi membawa daun ketum dan ubat batuk dari sebuah negeri di utara Semenanjun­g.

“Suspek berkenaan juga didapati positif dadah jenis methamphet­amine serta mempunyai rekod kesalahan lampau termasuk berkaitan dadah,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini, semalam.

Abdullah berkata, kesemua daun ketum dan ubat batuk berkenaan dipercayai akan dibawa ke Terengganu untuk pasaran di sana dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sek 30(3) Akta Racun 1952.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di Kampung Pulai Chicha Tinggi, Pasir Mas, kelmarin polis berjaya menahan dua lelaki berusia 31 dan 62 tahun serta merampas sejumlah dadah dipercayai syabu bernilai RM2,500 dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia