Penutupan kerajaan AS kedua akan jejas pertumbuhan ekonomi: Survei
Memandangkan tarikh akhir bagi mencapai kata sepakat berhubung pembiayaan tembok di sempadan semakin hampir, pakar ekonomi memberi amaran bahawa penutupan kerajaan yang kedua akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS), yang sudahpun terganggu akibat penutupan sebahagian selama 35 hari, lapor agensi berita China Xinhua memetik satu survei oleh The Wall Street Journal (WSJ).
Menurut survei baru-baru ini yang dikeluarkan pada Khamis, hampir 60 peratus peramal ekonomi sektor swasta berkata satu lagi penutupan akan memberi “sedikit” kesan terhadap pertumbuhan ekonomi manakala 16 peratus berkata kesannya adalah “ketara”.
“Penutupan kedua akan mengikis keyakinan pengguna dan perniagaan,” lapor WSJ memetik kenyataan Thomas Kevin Swift, ketua pakar ekonomi Majlis Kimia Amerika.
Penutupan sebahagian kerajaan persekutuan yang mencatat rekod sebagai paling lama dan berakhir pada 25 Januari itu, menyebabkan ekonomi AS mengalami kerugian dianggarkan sebanyak AS$11 bilion menurut laporan Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) minggu lepas.
Penutupan lima minggu itu telah mengurangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar pada suku keempat 2018 sebanyak AS$3 bilion atau 0.1 peratus, dan mungkin mengurangkan KDNK pada suku pertama 2019 sebanyak AS$8 bilion atau 0.2 peratus menurut laporan itu.
Meskipun terdapat pemulihan yang dijangka pada suku tahun berikutnya, CBO menganggarkan bahawa kerugian sebanyak AS$3 bilion dalam KDNK sebenar tidak dapat dipulihkan.
Ia bersamaan 0.02 peratus daripada KDNK tahunan terunjur pada 2019.
Presiden Donald Trump telah menandatangani satu rang undang-undang dua minggu lepas bagi membiayai kerajaan sehingga 15 Februari, yang memberikan tempoh lebih lama kepada Rumah Putih dan Demokrat untuk berunding tentang isu keselamatan sempadan, kebuntuan yang membawa kepada penutupan sebahagian kerajaan AS paling lama. — Bernama