Utusan Borneo (Sarawak)

Operasi memadam kebakaran di Gunung Baling diteruskan

-

Operasi memadamkan kebakaran di Gunung Baling, Baling yang terbakar sejak petang Rabu lepas diteruskan semalam dengan kaedah ‘water bombing’ yang dilakukan menggunaka­n helikopter MI-17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata sehingga kini sebanyak tujuh atau lapan beg ‘water bombing’ telah dilepaskan dari udara ke lokasi kebakaran di gunung itu.

“Operasi bermula 8 pagi semalam dan keadaan cuaca pagi ini agak baik. Tetapi menjelang tengah hari nanti kita bimbang cuaca akan kembali panas, jadi kita akan cuba untuk padamkan kawasan yang masih terbakar dan helikopter akan cuba memadam tiga lagi titik kebakaran besar yang dikesan.

“Setakat ini, pemadaman di puncak gunung telah selesai. Anggota kita yang menggunaka­n jalan darat turut membawa beg berisi air bagi melakukan kerja-kerja pemadaman di kawasan kebakaran yang kecil,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Beliau berkata seramai 20 anggota bomba terlibat dalam operasi semalam yang turut dibantu lebih 50 anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa lain selain turut mendapat bantuan malim gunung.

Katanya, pihak operasi JBPM negeri Kedah juga telah mengorek dua punca air berdekatan lokasi kejadian kelmarin bagi memudahkan kerja-kerja pengambila­n air dilakukan.

“Terdapat dua tempat bagi pengambila­n air iaitu di sebuah kolam bersebelah­an Ibu Pejabat Polis Daerah Baling dan sebatang sungai berdekatan tempat kejadian di mana jarak antara tempat pengambila­n air dengan kawasan kebakaran sekitar empat hingga lima kilometer,” katanya.

Kelmarin, pihak bomba menghadapi kesukaran untuk memadamkan kebakaran yang melibatkan kawasan seluas lebih 2.8 hektar di Gunung Baling berikutan keadaan cuaca panas dan angin kencang.

Punca kebakaran itu belum dikenal pasti, namun bomba tidak menolak kemungkina­n ia disebabkan aktiviti pendakian. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia