SUHAKAM perlu bertindak segera terhadap isu 47 rakyat Malaysia ditahan
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia ( SUHAKAM) perlu mengambil tindakan segera terhadap isu seramai 47 rakyat Malaysia ditahan di Kemboja sejak Disember tahun lalu kerana melibatkan hak asasi manusia.
Anggota Jawatankuasa Exco Kebangsaan Wanita PKR Zulhaidah Suboh berkata, beliau yakin dan pasti ia melibatkan kepentingan pelbagai pihak mempunyai rangkaian perdagangan dan menggunakan pelbagai modus operandi.
“Kita menunggu dan pastinya ingin tahu apakah tindakan seterusnya diambil oleh SUHAKAM terhadap penyeludupan manusia di Malaysia ke negara lain termasuk kes terbaharu di Kemboja,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.
Menurut Zulhaidah, kerajaan persekutuan dan negeri harus mengawasi dengan teliti agensiagensi menawarkan pekerjaan di luar negeri untuk keselamatan rakyat dan negara pada masa akan datang.
Beliau mendedahkan kesan negatif terhadap kes pemerdagangan manusia memberi kesan kepada mangsa serta trauma dan takut apabila mereka berurusan dengan masyarakat.
Zulhaidah berkata, penahanan rakyat Sarawak di Kemboja adalah satu kes yang amat mengejutkan.
“Agensi-agensi ini dengan mudah memanipulasi media sosial mengiklankan aktiviti haram seperti menawarkan pekerjaan bergaji tinggi kepada pencari kerja yang tidak menyedari bahawa mereka terlibat dengan aktiviti haram di negara luar,” katanya.
Ketua Wanita PKR Sibuti itu menjelaskan, ini salah satu penyalahgunaan emosi dan fizikal yang meninggalkan kesan mendalam serta mempengaruhi masa depan mereka termasuk ahli keluarga mereka.
Beliau berharap tindakan konkrit diambil semua pihak bagi mengelakkan insiden seumpama itu terus berulang, khasnya melibatkan rakyat Malaysia yang dipergunakan sebagai ejen memperdagangkan manusia.
Zulhaidah turut menggesa agensi-agensi kerajaan mengambil langkah memberi pencerahan kepada orang ramai terutama golongan muda yang teruja mencari pekerjaan dan tidak kurang bagi mereka yang terdesak mencari pekerjaan bagi menyara keluarga terutama golongan miskin.
“Kebanyakan golongan muda tertarik dengan tawaran upah dalam mata wang asing terutama dolar Amerika Syarikat dijanjikan selain kemudahan seperti insentif, bonus, elaun bulanan dan tempat tingga percuma tanpa menyedar kerja ditawarkan selamat atau melanggar undang-undang,” jelasnya.
Sehubungan itu, ibu bapa perlu campur tangan dalam perkara ini dengan memastikan kerja dipohon oleh anak-anak mereka selamat dan ada jaminan bukan hanya tertarik dengan tawaran gaji semata-mata.
Zulhaidah berkata strateg utama mencegah dan memerangi pemerdagangan manusia ialah mewujudkan program kesedaran awam untuk komuniti sedar, bertanggungjawab dan responsif terhadap jenayahjenayah.
“Isu pemerdagangan manusia itu memberi impak negatif terhadap imej negara kita,” katanya justeru Kementerian Luar perlu mengambil perhatian serius menangani perkara tersebut.