Kementerian Wilayah Persekutuan giat usaha warta taman awam, kata Khalid
Kementerian Wilayah Persekutuan sedang mempergiatkan usaha untuk mewartakan taman-taman awam di seluruh negara yang merangkumi sekurangkurangnya keluasan 101 hektar di setiap negeri, kata Menterinya Khalid Abdul Samad.
Beliau berkata usaha ini dilakukan melalui Jabatan Landskap Negara di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan bagi mengekalkan dan melindungi taman-taman itu agar boleh dikunjungi warga tempatan.
Katanya, usaha ini termasuk mewartakan Taman Awam Berskala Besar iaitu Taman Persekutuan Bukit Kiara seluas 149 hektar di Kuala Lumpur.
“Kita hendak wartakan supaya kita dapat mengekalkan dan melindungi kawasan-kawasan ini yang mana setiap negeri akan ada taman yang boleh dikunjungi oleh rakyat negeri masing-masing.
“Ia adalah satu proses berterusan dan sekarang difahamkan negeri Pahang sudah dikenal pasti 250 ekar tanah (101 hektar),” katanya selepas merasmikan Putrajaya Park’s Day di Taman Wetland Putrajaya.
Tambahnya, Perbadanan Putrajaya (PPj) merancang Putrajaya dengan pemban- gunan 13 taman awam dan 10 telah pun siap dibangunkan.
“Kesemua taman dibangunkan dengan konsep, tema, karakter dan persekitaran yang tersendiri serta unik menjadikan ianya nadi kepada Putrajaya sebagai Bandar Raya Taman,” katanya.
Katanya, taman- taman awam dibina sebagai pilihan untuk pengunjung dan komuniti Putrajaya khususnya menghabiskan masa santai serta beriadah di hujung minggu dan masa terluang.
Selaras dengan aspirasi ini, Khalid berkata Putrajaya Park’s Day adalah satu usaha PPj bagi menzahirkan Pelan Strategik Putrajaya 20162020 yang menggariskan beberapa teras dalam mencapai visi Ke Arah Putrajaya Mampan 2020.
“Saya menyambut baik inisiatif PPj dalam menjadikan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan unggul dan ber- daya saing melalui pembangunan produk pelancongan,” katanya.
Hampir 3,000 pengunjung memeriahkan program Putrajaya Park’s Day di Taman Wetland termasuk larian SHERUN dengan jarak 3 kilometer (km), 5km dan 8km. — Bernama