500 penduduk Bukit Mertajam terima bantuan
Seramai 500 penduduk di Parlimen Bukit Mertajam menerima sumbangan bernilai RM100 setiap seorang sempena Program Amal Tahun Baharu Cina 2019.
Ahli Pprlimennya, Sim Chee Keong berkata sumbangan berbentuk makanan dan keperluan harian tersebut adalah merupakan satu daripada inisiatif berterusan pihaknya dalam membantu masyarakat di parlimen itu terutamanya penduduk yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang telah berdaftar di bawah program- program bantuan sedia ada.
“Sumbangan tersebut bernilai RM50 berbentuk barangan makanan ( setiap seorang) manakala penerima turut menerima angpau sebanyak RM50 yang dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Mertajam, di sini, semalam.
Beliau berkata program seumpama itu adalah merupakan sebuah cerminan semangat kekitaan menerusi wajah Malaysia Baharu yang disifatkannya sebagai indikator perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.
“Kalau sebelum ini kita sering adakan rumah terbuka ( sempena perayaan Tahun Baharu Cina) tapi kali ini kita nak adakan sedikit kelainan iaitu dengan mengadakan program amal supaya lebih banyak penduduk di sini dapat dibantu tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan juga bangsa,” katanya.
Antara barangan yang dis- umbangkan ialah makanan asas seperti beras, mi, makanan dalam tin dan beberapa barangan keperluan yang lain.
Program tersebut adalah merupakan program kali keempat dilaksanakan sejak tahun 2016.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru penduduk setempat yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan agar mendaftarkan diri di bawah program e-Kasih dengan kadar segera kerana manfaat yang bakal diperoleh menerusi program tersebut.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama selain Islam, Chong Eng. — Bernama