Skuad Sarawak C bakal menguji dua kelab handalan
Pengurus pasukan C Sarawak, Phillip Jabu mengesahkan pasukannya akan menguji dua kelab handalan dari Kuching dan Serian bagi menilai kemampuan pasukan itu sebelum menghadapi saingan sebenar Piala Belia 2019 yang bermula pada 20 Februari ini.
Phillip memberitahu bahawa pasukan kendalian Mohd Safri Amit itu akan menentang juara K-League 2018 (Axis FC) dan juara Liga Serian 2018, Serian Project Team.
“Persiapan kita lebih tertumpu kepada perlawanan persahabatan di Kuching sahaja. Kami mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad senior (Sarawak), Kuching FA dan Kelab Perubatan Serian (KPS),” katanya di sini semalam.
Menurut Philip, pasukan Sarawak C tidak akan menjelajah ke seberang laut (Semenanjung Malaysia) seperti dilakukan oleh pasukan senior dan Piala Presiden.
“Kita tidak mahu membazir dari segi perbelanjaan digunakan jika mengambil pendekatan mengadakan aksi pemanas badan di Semenanjung Malaysia,” jelasnya.
Phillip berkata, pihaknya akan menggunakan peruntukan sedia ada dengan lebih berhemah iaitu mengutamakan kebajikan pemain-pemain.
“Apa yang penting, kebajikan semua pemain seperti memberi keutamaan terhadap gaji dan elaun harus diutamakan dahulu,” katanya sambil menambah langkah itu bagi mengelak sebarang masalah timbul pada kemudian hari nanti.
Saingan Piala Belia 2019 akan bermula pada 20 Februari ini dan Sarawak akan menentang Kedah di Stadium Sarawak, Petra Jaya di sini mulai jam 4.15 petang.