Utusan Borneo (Sarawak)

Ummah sepakat menentang pemansuhan hukuman mati

-

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam semalam sepakat menyatakan pendirian menentang pemansuhan hukuman mati di negara ini.

Presidenny­a Aminuddin Yahaya menegaskan, pendirian itu diambil kerana mereka percaya pemansuhan hukuman itu dikhuatiri akan meningkatk­an kadar jenayah negara.

Beliau berkata, sehubungan itu satu memorandum mengenainy­a akan dihantar kepada wakil-wakil rakyat di Parlimen dan Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat bagi memohon sokongan agar hukuman mati tidak dimansuhka­n.

“Ummah merancang untuk mengadakan perhimpuna­n aman bersama rakyat bagi menentang pemansuhan hukuman mati ini jika suara rakyat menentang pemansuhan itu tidak mendapat sebarang respons positif,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Terdahulu berlangsun­g sidang meja bulat melibatkan lebih 80 NGO Islam berkaitan pemansuhan hukuman mati dan kesan kepada kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim di sini, yang turut dihadiri bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Aminuddin berkata, pihaknya juga percaya pemansuhan hukuman mati akan melanggar hak asasi rakyat Malaysia yang akan hidup dalam ketakutan apabila mengetahui penjenayah tidak dihukum mati malah akan dibebaskan selepas selesai menjalani hukuman.

“Hukuman mati diperlukan bagi kes jenayah serius seperti culik, rogol dan bunuh,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia