Utusan Borneo (Sarawak)

Saya tak perasan mana Adib, van EMRS diketuk, digoyang: Saksi

-

“Saya tak perasan di mana arwah Adib, saya hanya dengar bunyi riuhrendah, van Unit Bantuan Perkhidmat­an Kecemasan (EMRS) digoyang, diketuk sekumpulan orang awam,” kata seorang saksi pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pemandu van EMRS, Ahmad Shahrill Othman memberitah­u Mahkamah Koroner di sini semalam bahawa dia tidak tahu di mana arwah Muhammad Adib ketika van yang dipandunya berpusing sebelah kiri akibat dilanggar dari belakang oleh jentera Fire Rescue Tender (FRT) yang ketika itu berundur akibat diserbu sekumpulan 50 orang awam.

Saksi ketiga itu berkata beliau juga tidak nampak sebarang senjata yang digunakan perusuh dalam insiden itu.

Terdahulu, mahkamah juga memberikan sebuah jentera FRT mainan dan kenderaan EMRS mainan kepada saksi itu bagi menjelaska­n insiden berkenaan.

“Sepanjang insiden itu iaitu dari FRT mengundur dan menghimpit van EMRS sehingga berpusing saya langsung tidak nampak kelibat Adib dan tidak mendengar suara Adib. Hanya kedengaran suara riuh rendah saja.

“Kemudian saya terus menekan minyak menuju ke arah Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk meminta bantuan. Saya parkir van di pekarangan IPD berkenaan dan terkejut apabila melihat anggota pemadaman bernama Hazim muncul dari bahagian belakang van,” katanya pada pendengara­n hari kedua inkues itu.

Katanya beliau kemudian bertanya kepada Hazim “Adib mana? Adib mana?,” dan Hazim menjawab “tak tahu.”

“Seminit selepas kami sampai, jentera FRT pun sampai di IPD berkenaan. Saya tak tahu saya sampai dalam berapa minit sebab keadaan gelap, panik dan rasa macam nak mati. Sejurus sampai di IPD, saya baru perasaan tayar belakang sebelah kiri van yang saya pandu meletup dan cermin sisi bahagian belakang pecah...cermin sisi pun hilang, dicabut. Terdapat beberapa topi keledar di dalam van berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah yang juga pegawai pengendali inkues itu.

Ahmad Shahrill berkata beliau sendiri tidak tahu bagaimana beliau boleh memandu van EMRS berkenaan dalam keadaan tayar belakang pecah.

“Selepas jentera FRT sampai di IPD, kami membuat panggilan baris ( roll- call) bagi menyemak anggota, masa itulah kami sedar arwah Adib tiada. Saya bayangkan arwah Adib dalam jentera FRT,” katanya.

Hamdan: Apa tindakan pihak kamu selepas tiba di IPD?

Ahmad Shahrill: Kami tidak sempat membuat laporan polis kerana masa itu sistem down beberapa minit...pihak polis masuk ke tempat rusuhan bagi mencari arwah. Pihak kami pula cuba menghubung­i arwah dan panggilan itu dijawab orang awam dan memberitah­u Adib dibawa ke Hospital SJMC.

“Kami pergi ke hospital SJMC untuk melawat arwah namun kami tak dapat tengok arwah sebab dia dirawat d bahagian kecemasan. Selepas itu, penyelia kami Encik Badrul membuat laporan d balai polis USJ17 selepas saya menjelaska­n insiden berkenaan,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota EMRS dari Bala Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan d tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas.

Allahyarha­m menghembus­kan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung hari ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia