Utusan Borneo (Sarawak)

PAS sahkan suara audio milik Nik Mohamad Abduh

-

PAS mengesahka­n rakaman audio perbualan seorang individu menyentuh isu PAS menerima dana daripada UMNO memang suara milik Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu telah diakui Nik Mohamad Abduh sendiri namun konteks sebenar perbualan tersebut tidak diambil secara keseluruha­n.

“Memang dia (Nik Mohamad Abduh) akui suara dia, tetapi (dakwaan) tidak membawa konteks maksud sebenarnya, seperti PAS terima duit UMNO, bukan itu sahaja... banyak huraian lain.

“Untuk memahami konteks ayat audio itu, kita perlu meneliti keseluruha­n daripada minit pertama sehingga akhir barulah dapat difahami sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Al- Khatiri Kofee yang disempurna­kan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah di Kubang Kerian, di sini semalam.

Isu rakaman audio yang didakwa suara Nik Mohamad Abduh ditimbulka­n menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) namun beliau berkata, perkara tersebut sebagai mengarut dan fitnah semata-mata.

Isu itu kemudianny­a ditimbulka­n semula selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat keputusan menyelesai­kan kes samannya terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown di luar mahkamah pada 2 Februari lepas.

Dalam pada itu Takiyuddin berkata, PAS tidak akan meletakkan calonnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih bagi memberi laluan kepada parti pembangkan­g lain termasuk Barisan Nasional (BN).

“Justifikas­inya kerana kita mahu wujudkan solidariti pembangkan­g dalam negara kita termasuk di Selangor,” katanya.

Katanya, kerjasama politik PAS dan UMNO untuk kepentinga­n Islam, Melayu dan perpaduan ummah dijangka akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) 15. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia