Utusan Borneo (Sarawak)

UMNO Perak minta SPRM telus siasat projek di kawasan hutan simpan

-

UMNO Perak berharap Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menyiasat secara telus kelulusan permit projek pembanguna­n ladang hutan seluas 400 hektar di dua lokasi di Perak yang diberikan kepada sebuah syarikat.

Pengerusi Badan Perhubunga­nnya, Datuk Saarani Mohamad berkata, syarikat itu berdaftar di bawah Suruhanjay­a Syarikat Malaysia pada 26 Julai 2018 dan kelulusan permit diberikan kepada mereka pada November tahun lepas.

“Dua lokasi itu adalah Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta Manjung.

“Malah syarikat yang hanya bermodalka­n RM2 itu tidak mempunyai pejabat operasi dan hasil tinjauan mendapati alamat syarikat itu adalah di bawah sebuah syarikat peguambela dan peguamcara di Taiping,” katanya dalam sidang media di bangunan UMNO negeri di sini semalam.

Kelmarin, Ahli Parlimen Kampar dari DAP Thomas Su Keong Siong membuat laporan kepada SPRM berhubung kelulusan permit berkenaan yang diberikan kepada sebuah syarikat yang didakwa baharu lima bulan ditubuhkan.

Sejak Jumaat lalu, sepucuk surat tular di media sosial, mendakwa kerajaan negeri Perak, melalui Mesyuarat Jawatankua­sa Sumber Hasil Hutan Negeri Perak Bil 2/ 2018 pada November 2018, telah meluluskan kawasan seluas 400 hektar kepada sebuah syarikat bagi tujuan Projek Pembanguna­n Ladang Hutan.

Saarani berkata, pihaknya memandang serius pendedahan pengurusan khazanah hutan di Perak yang diberikan kepada syarikatsy­arikat tertentu secara berleluasa dan akan turut membuat laporan kepada SPRM kerana ia berkaitan dengan integriti.

“Perkara ini bukan sahaja didedahkan pertubuhan bukan kerajaan malah oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) sendiri yang tentunya mempunyai akses maklumat dalam kerajaan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia