Utusan Borneo (Sarawak)

Muhammad Aiman mula gerakkan kempen di Semenyih

-

Muhammad Aiman Zainali kelihatan begitu sibuk pada hari Ahad, sehari selepas beliau diumumkan secara rasmi oleh Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) sebagai antara empat calon yang bertanding bagi pilihan raya kecil (PRK) dewan undangan negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac.

Sebagai calon Pakatan Harapan (PH), jurutera dan Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Hulu Langat berusia 30 tahun itu tanpa berlengah masa menyingsin­g lengan bajunya untuk menggerakk­an kempen.

Sasarannya ialah mendekati orang ramai dan peniaga di pasar pagi Semenyih dan Beranang, menyelami hati mereka dengan membawa mesej bahawa beliau memerlukan sokongan mereka untuk memenangi PRK itu yang diadakan berikutan kematian Bakhtiar Mohd Nor, 57 pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Selain PH, Barisan Nasional (BN), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon bebas juga bertanding pada PRK itu yang menyaksika­n pertembung­an empat penjuru.

Memiliki sifat peramah, sentiasa mengukir senyuman dan lebih-lebih lagi beliau adalah menantu kepada penyandang kerusi DUN Semenyih Allahyarha­m Bakhtiar Mohd Nor memberi kelebihan kepada Muhammad Aiman ketika beliau turun padang untuk berkempen dan memenuhi permintaan orang ramai untuk berswafoto dengannya.

Ketika ditemui pemberita, Muhammad Aiman berkata beliau sangat biasa dengan kawasan tersebut dan boleh dikatakan beliau ‘membesar’ di pasar itu.

Semasa kecil, saya selalu mengikut nenek saya ke pasar ini. Dahulu saya tinggal di Taman Bangi Jaya yang terletak kira-kira dua kilometer dari pasar ini. Sebab itulah, ramai peniaga dan pengunjung yang saya kenal,” kata bapa kepada seorang anak itu ketika orang mula mengambil kesempatan untuk bersalam dengannya.

Seorang penjual kuih, Salim Mad Isa, 70, berkata Muhammad Aiman pernah membeli kuih daripadany­a ketika dia (Muhammad Aiman) masih kecil.

“Saya yakin kalau dia menang PRK nanti, dia akan menjadi pemimpin yang bertimbang rasa kerana dia faham akan cara hidup dan kesusahan penduduk di sini,” katanya.

Para pekerja parti yang turut mengiringi Muhammad Aiman semasa beliau turun padang juga mengambil peluang untuk mengedarka­n risalah berkaitan parti yang mengandung­i, antara lain, profil calon PH itu dan mengingatk­an mereka tentang pentingnya untuk keluar mengundi menyokong calon PH pada 2 Mac ini.

Muhammad Aiman mempunyai jadual yang sibuk dengan menziarahi mereka yang sakit dan juga warga emas serta membuat tinjauan mesra di sebuah pasar raya terkemuka di sini.

Zawiah Kamaruddin, 56, yang membuka gerai makanan di pasar pagi Beranang berkata, pemilihan calon muda merupakan keputusan bijak oleh PH kerana warga Semenyih memerlukan seorang wakil rakyat yang cergas dan bertenaga. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia