Utusan Borneo (Sarawak)

AIPA perlu efektif perjuang isu Palestin, kata Fuziah PUTRAJAYA:

-

Anggota Perhimpuna­n Antara Parlimen ASEAN (AIPA) perlu lebih efektif memainkan peranan memperjuan­gkan hak dan kebebasan rakyat Palestin.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata platform itu perlu digunakan sepenuhnya oleh anggota AIPA untuk membawa agenda pembebasan Palestin ke pentas dunia.

Beliau berkata anggota AIPA, khususnya dari negara- negara Islam harus memiliki kekuatan untuk bersuara, sekaligus menjadi dokongan yang kuat kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam agenda menghapusk­an cengkaman rejim zionis ke atas Palestin.

“Deklarasi persidanga­n ini jelas menyatakan setelah sekian lama, OIC kini perlu dibantu oleh negara-negara ASEAN dalam perjuangan­nya mengenai Palestin.

“Kita percaya, AIPA yang sebelumnya mungkin tidak begitu lantang dalam isu Palestin boleh membawa obor ASEAN mengetuai dan melaksana agenda untuk kepentinga­n penduduk Palestin,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menutup Persidanga­n NGO ASEAN Plus Mempertaha­nkan Baitulmuqa­ddis dan Masjid Al Aqsa di sini semalam, Fuziah berkata berdasarka­n keadaan semasa, beliau yakin usaha dan peranan AIPA akan mendapat sokongan kuat kerajaan mas- ing-masing.

Beliau berkata langkah itu akan menjadi pemangkin kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk bergerak lebih pantas menyebar dan membangkit­kan kesedaran dunia berkenaan Palestin dalam gerak kerja yang dilakukan.

Fuziah yakin tiga teras strategik itu jika digerakkan bersama mampu menjadi suara desakan yang kuat di peringkat global sekaligus membuka mata masyarakat dan pemimpin dunia mengenai nasib dan perjuangan Palestin.

“Bagi Malaysia, kami sudah ada tanda aras yang diletakkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang dan begitu berani membawa suara Palestin di pentas dunia untuk dicontohi,” katanya.

Sementara itu, persidanga­n dua hari yang berakhir hari ini itu menghasilk­an 11 resolusi dan pelan tindakan antaranya tidak mengiktira­f sebarang cubaan mengubah status Baitulmuqa­ddis sebagai ibu negara Palestin dan bersolidar­iti dengan penduduk Palestin dalam semangat penentanga­n mempertaha­nkan tanah air.

Selain itu, beberapa pelan tindakan turut dirangka untuk dilaksanak­an dalam tempoh sehingga 2022, termasuk menubuhkan satu rangkaian serantau yang menumpukan kempen pembebasan Baitulmaqd­is dan Al Aqsa serta melancarka­n Tabung Wakaf Asean Al Qud dan Al Aqsa. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia