Utusan Borneo (Sarawak)

PTKL dijangka teruskan aliran meningkat minggu ini KUALA LUMPUR:

-

Pasaran Timah Kuala Lumpur (PTKL) dijangka meneruskan aliran meningkat pada minggu ini, dengan harga berada antara AS$ 21,250 dan AS$ 21,400 satu tan.

Peniaga berkata antara faktor yang dijangka meningkatk­an pasaran timah tempatan ialah lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selama tiga hari ke Pakistan pada masa ini, berikutan Pakistan merupakan antara pembeli tetap dalam pasaran.

“Dengan permintaan kukuh terhadap logam itu, saya percaya pasaran akan meneruskan momentum meningkat pada minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Peniaga berkata PTKL akan turut dipengaruh­i oleh pergerakan harga timah di Bursa Logam London (LME), pasaran penanda aras bagi logam.

“Harga timah di LME naik secara berterusan pada minggu ini dan dijangka meningkat lagi minggu ini,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, permintaan di PTKL adalah dari China, Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Jerman, Eropah, Amerika Syarikat, United Kingdom, Pakistan, Bangladesh dan pembeli tempatan.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, timah di PTKL naik AS$160 kepada AS$21,300 satu tan berbanding AS$21,140 satu tan pada minggu sebelumnya, manakala jumlah dagangan mingguan naik kepada 293 tan daripada 219 tan.

Sementara itu, perbezaan harga antara PTKL dan LME pada diskaun AS$175 satu tan pada Jumaat, berbanding diskaun AS$ 90 dicatatkan pada minggu sebelumnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia