Utusan Borneo (Sarawak)

PERBICARAA­N RAYUAN KES BUNUH DITUNDA

-

KUCHING: Seorang Hakim Mahkamah Rayuan di sini semalam menarik diri daripada perbicaraa­n rayuan kes pembunuhan pengurus bank yang berasal dari Sibu, Wong Jing Kui.

Hakim Datuk Stephen Chung Hian Guan membuat keputusan berkenaan atas alasan tidak selesa menguruska­n kes itu kerana dikatakan mengenali seorang tertuduh iaitu Tiong King Guan, 33.

Peguam Ling Hang Tsyr, 38, yang terdiri daripada Roger Chin dan Lim Heng Choo kemudianny­a memohon agar mahkamah menyediaka­n panel hakim baharu bagi perbicaraa­n seterusnya.

Mahkamah kemudianny­a menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail manakala sidang hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Ketua Panel Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang mempengeru­sikan dua panel lain iaitu Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Hakim Datuk Stephen Chung Hian Guan.

Turut kelihatan di Mahkamah Rayuan semalam, ahli keluarga Wong serta peguam mereka, Christina Teng.

Ling Hang Tsyr dan teman lelakinya, Tiong, didakwa membunuh Wong Jing Kui, suaminya, tujuh tahun lepas di rumahnya di Jalan Ulu Sungai Merah pada 14 Jun 2012 jam 1.30 pagi.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 109 dan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntu­kkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

Ling Hang Tsyr dijatuhi hukuman mati oleh Hakim Mahkamah Tinggi Sibu Datuk Norcahaya Arshad pada 27 Oktober 2017 selepas didapati bersalah serta bersubahat dalam pembunuhan suaminya.

Tiong bagaimanap­un sehingga kini masih tidak dapat dikesan.

Justeru, keluarga mangsa menawarkan ganjaran wang tunai RM50,000 kepada orang ramai yang berjaya menemuinya atau bagi maklumat yang membawa kepada penangkapa­nnya.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa bersubahat dengan seorang pembunuh upahan, juga pesalah utama, Ling Hoe Ing, 30.

Hoe Ing didakwa di bawah tuduhan alternatif di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan menyebabka­n kematian tanpa niat untuk membunuhny­a.

Dia kemudianny­a menjalani hukuman penjara 16 tahun selepas dia mengaku bersalah pada 1 Oktober 2013.

Laporan patologi mengesahka­n bahawa Wong meninggal dunia akibat tikaman dan luka di dada, leher dan perut serta di kedua-dua lengannya.

Menurut fakta kes, polis menemui mangsa di bilik tidurnya dan hanya isteri serta anak lelakinya berada di rumah ketika itu.

Anaknya yang berusia 10 tahun itu kini berada di bawah jagaan keluarga Hang Tsyr.

 ??  ?? DITUNDA: Ling Hang Tsyr diiringi warden penjara, selesai kes rayuan
di Mahkamah Rayuan Kuching.
DITUNDA: Ling Hang Tsyr diiringi warden penjara, selesai kes rayuan di Mahkamah Rayuan Kuching.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia